Rangkul Golden Globe, PM ucap tahniah buat Michelle Yeoh

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh susulan kejayaan beliau menjadi orang Malaysia pertama memenangi trofi Golden Globe Awards.

Ucapan tahniah itu dizahirkan Anwar menerusi satu hantaran di Twitter rasminya tadi dengan menyifatkan kejayaan meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal dan Komedi sebagai sesuatu yang membanggakan negara.

“Saya utus tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati Michelle atas pencapaian tingkat tinggi dalam industri seni perfileman tatkala meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal dan Komedi.

“Trofi mahsyur Anugerah Golden Globe yang berjaya dirangkul Michelle ternyata membanggakan negara dan rakyat terutamanya peminat filem,” tulisnya.

Katanya, beliau juga berharap pencapaian Michelle bakal memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman tempatan untuk terus berkarya dan mencambah bakat kreatif lagi berkualiti.

Pada masa sama, Anwar juga menjelaskan akan menonton filem yang dibintangi Michelle iaitu Everything Everywhere All at Once’ dalam masa terdekat.

Terdahulu, Michelle, 60, merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal atau Komedi untuk filem Everything Everywhere All at Once arahan sutradara, Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Michelle atau nama sebenarnya, Michelle Yeoh Choo Kheng menewaskan aktres hebat Hollywood lain seperti Lesley Manville, Margot Robbie, Anya Taylor-Joy dan Emma Thompson. – KOSMO! ONLINE

The post Rangkul Golden Globe, PM ucap tahniah buat Michelle Yeoh appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*