Remaja maut motosikal rempuh kerbau

DENGKIL – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor kerbau di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.44 pagi di Jalan Dengkil – Air Hitam itu, mangsa, Muhammad Jakfar Dani Johari, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda sedang dalam perjalanan pulang seorang diri ke rumah di Taman Dengkil Jaya.

Beliau berkata, mangsa difahamkan gagal mengelak seekor kerbau yang melintas jalan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat dan kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa tidak mempunyai lesen memandu sah dan memakai topi keledar ketika kejadian.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan keluhan penduduk sekitar Dengkil susulan kehadiran lembu dan kerbau tanpa tuan khususnya di atas jalan raya yang dilihat boleh mencetuskan kemalangan.

Lebih teruk, ternakan itu dibiarkan berkeliaran di atas jalan raya pada waktu malam sehingga berisiko menyebabkan kemalangan.

Penduduk mendakwa, lembu berkenaan dibiar tanpa pengawasan dan bebas bergerak di kawasan Dengkil, Kampung Ahmad Razali dan Jenderam, Dengkil. – KOSMO! ONLINE

The post Remaja maut motosikal rempuh kerbau appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*