Riyadh: Cristiano Ronaldo mencipta rekod baharu selepas menjaringkan gol kedua ketika Al-Nassr menewaskan Al-Taawoun 2-0 pada separuh akhir Piala Super Saudi malam semalam.
Pemain sensasi Portugal itu sebelum ini mengatakan bukan dia mengejar rekod tetapi rekod mengejar dia dan mencipta satu lagi rekod yang belum pernah dilakukan mana-mana pemain.
Ronaldo menjadi pemain pertama dalam sejarah menjaringkan gol dalam 23 musim bola sepak berturut-turut. Sejak tampil kali pertama untuk Sporting CP pada 2002, Ronaldo menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol setiap tahun yang menunjukkan konsistensi dan daya tahan mengagumkan.
Malah walaupun sudah berusia 39 tahun, Ronaldo masih terus melawan ‘hukum masa’. Umur bukan penghalang untuknya mencipta rekod. Dia melupakan kekecewaan di Euro 2024 dengan memulakan musim baru dengan jaringan penting, yang ke-896 daripada 1234 perlawanan.
sumber: HM
Dengan Al-Nassr mara ke final Piala Super Saudi, Al-Hilal menunggu mereka pada awal pagi Ahad ini. Al-Hilal menjuarai Liga Pro Saudi tahun lalu dan menjadi pasukan badi kepada Al-Nassr dan Ronaldo sejak akhir-akhir ini.