Rosmah Mansor disabit kesalahan 3 pertuduhan rasuah

Datin Seri Rosmah Mansor hari ini disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati isteri bekas Perdana Menteri tersebut bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semalam Rosmah gagal dalam permohonan permohonan sivil terbaharunya untuk menyingkirkan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan membatalkan keseluruhan prosiding dihadapinya sejak 2018.

BACA: Remaja 19 tahun diumpan makan sate, sebelum dirogol 3 lelaki secara bergilir-gilir

– KOSMO! ONLINE

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*