Saintis sangkal HAARP cetus gempa bumi Turkiye-Syria

ISTANBUL: Para saintis dunia menyangkal dakwaan tragedi gempa bumi yang melanda tenggara Turkiye dan Syria dise­babkan aktiviti stesen penyelidikan Amerika Syarikat (AS), Program Penyelidikan Auroral Aktif Frekuensi Tinggi (HAARP).

Malah, teori konspirasi ini menjadi tular dalam media sosial selain membangkitkan kemarahan ramai.

Lapor South China Morning Post, HAARP dikendalikan oleh tentera udara dan tentera laut AS sebelum diserahkan pada 2015 kepada Universiti Alaska Fairbanks.

BUKAN UNTUK PERSENJATAAN
Para saintis dikatakan bertahun-tahun lamanya menyangkal dakwaan bahawa kemudahan Alaska yang disokong AS itu adalah untuk tujuan persenjataan.

Ada sesetengah pihak men­dakwa tindakan mewujudkan gempa bumi itu adalah untuk menghukum Turkiye kerana me­nentang kemasukan negara anggota baharu (Sweden) ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada 6 Februari lalu, wujud kilau cahaya sebelum gempa bumi berlaku di tenggara Turkiye dan Syria yang didakwa sebagai bukti bahawa ia dijana secara buatan oleh HAARP.

Profesor fizik Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Sains Gunaan Harvard, David Keith berkata, tuduhan ini bagaima­napun sangat gila.

Katanya, ia sama seperti me­ngaitkan gempa bumi dengan watak kartun Walt Disney, Bugs Bunny yang menggali tanah untuk mendapatkan lobak merah.

“Tiada mekanisme yang diketahui untuk melakukan apa-apa dari jauh seperti HAARP untuk memberi kesan kepada gempa bumi,” katanya.

KAJIAN SISTEM KOMUNIKASI
HAARP menghantar gelombang radio untuk memanaskan elektron dalam ionosfera, lapisan atas atmosfera bumi untuk mengkaji kesannya terhadap sistem komunikasi.

Gelombangnya tidak cukup besar untuk sampai ke Turkiye dan gempa bumi berlaku di­se­babkan oleh pergerakan kerak bumi.

Profesor Fizik Persekitaran Angkasa Universiti Reading, Michael Lockwood berkata, dakwaan mengenai HAARP digunakan sebagai senjata mungkin berpunca daripada program yang pada mulanya menggunakan gelombang radio untuk berkomunikasi dengan kapal selam.

Namun, katanya, fungsi tersebut menjadi usang dan tidak lagi digunakan selepas Perang Dingin.

“Menjana gempa bumi adalah salah satu yang saya tidak pernah dengar sebelum ini,” kata Lockwood.

Banyak juga dilaporkan dalam media sosial yang mendakwa HAARP digunakan untuk mewujudkan ribut dan gelombang haba.

DAKWAAN MENGUBAH IKLIM
Baru-baru ini, terdapat dakwaan bahawa matlamat HAARP adalah untuk mewujudkan perubahan iklim supaya mana-mana pihak berkuasa boleh menyekat aktiviti orang ramai, pepera­ngan atau mengurangkan populasi.

Pemancar HAARP boleh menghantar gelombang radio dari jarak 80 kilometer (km) ke lebih 500 km di atas permukaan Bumi, terlalu tinggi untuk isyarat sedemikian menjejaskan cuaca atau iklim.

Ahli meteorologi di British Antarctic Survey, Ella Gilbert berkata, idea bahawa teknologi boleh membawa peristiwa ekstrem adalah sangat tidak masuk akal.

“Secara teknikalnya amat su­kar untuk mempengaruhi sistem yang besar, kompleks dan huru-hara seperti cuaca,” kata Gilbert.

Sementara itu, Profesor Sains Bumi dan Atmosfera di Universiti Cornell, David Hysell, berkata, HAARP tidak berbahaya sama seperti stesen elektrik atau radio lain.

The post Saintis sangkal HAARP cetus gempa bumi Turkiye-Syria appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*