Sami maut dipijak gajah naik minyak

Seekor gajah liar memijak sehingga mati seorang sami Buddha di Thailand selepas menyerangnya ketika mangsa berjalan pulang ke sebuah tokong, lapor akhbar Daily Star semalam.

Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan Jaron Suksing, 66, sedang berjalan apabila dia tiba-tiba diserang seekor gajah jantan dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Sami berkenaan cuba lari menyelamatkan diri, namun gajah liar tersebut lebih pantas menangkapnya.

Dia ditikam gading gajah sepanjang 50.8 sentimeter sebelum dipijak ketika terbaring di atas tanah sambil meminta pertolongan.

Gajah berusia 10 tahun itu bagaimanapun telah melarikan diri ketika rakan-rakan Jaron menemui mayatnya dalam keadaan berlumuran darah pada keesokan harinya.

“Tiada sesiapa melihat sami Jaron ketika upacara pagi diadakan. Tidak lama selepas itu, kami menemui mayatnya,” kata penjaga tokong, Wasan Meesapan.

Kakitangan yang pada awalnya tidak mengetahui punca kematian Jaron kemudian memeriksa rakaman CCTV dan mengesahkan bahawa seekor gajah menjadi penyebab kepada insiden itu.

Haiwan liar itu didapati mendiami sebuah taman negara yang terletak dekat tokong tersebut.

Sekumpulan renjer hidupan liar kemudian dikerah ke lokasi habitat gajah tersebut bagi memantaunya untuk mencegah kejadian sama daripada berulang.

Mereka percaya bahawa gajah tersebut berada dalam keadaan di mana ia menunjukkan tingkah laku agresif dan mengalami peningkatan hormon kerana mahu mengawan. – Agensi

BACA: Lelaki dakwa pernah berkahwin dengan 53 wanita untuk cari ketenangan

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*