`Sanggup tinggal sendirian untuk lawat kubur ayah’

SEREMBAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun sanggup tinggal sendirian di rumah peninggalan bapa angkatnya supaya dapat melepaskan ‘rindu’ dengan melawat kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pupuh, Ampangan di sini setiap hari.

Muhammad Syakawie Abdullah, atau mesra dengan panggilan Awie berkata, ayah angkatnya, Azman Aziz, 50, dijemput ilahi pada 24 November lalu akibat serangan jantung.

“Saya tak takut dan selesa tinggal sendiri di rumah ini, memang saya rapat dengan ayah dan kami memang tinggal berdua sejak saya kecil lagi.

“Apabila ayah sudah tiada memang rasa kehilangan besar, sebab saya selalu bergurau dan masak bersama ayah, malah saya selalu ikut ayah bekerja sebagai pemandu lori di sekitar Seremban,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pupuh, Ampangan di sini hari ini.

Awie yang bersekolah sehingga tingkatan tiga berkata, menjadi rutin hariannya melawat kubur arwah ayahnya yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah bagi melepaskan rindu.

Menurut Awie, dia tidak menyangka ayahnya pergi terlalu awal dan arwah sempat berpesan supaya belajar berdikari dan berubah menjadi lebih baik pada malam sebelum ayahnya meninggal dunia.

BERMIMPI

“Saya bermimpi ayah terjatuh dan terus keluar dari bilik mencari ayah, tengok dia sudah terbaring kaku.

“Saya cuba hubungi kawan-kawan dan saudara terdekat ayah untuk membantu menguruskan jenazah,” katanya yang kini menumpang kasih dengan keluarga kakak ayahnya, Faridah Aziz, 51, yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Faridah berkata, Awie dijaga oleh ibunya sejak kecil sebelum diserahkan kepada adik bongsunya, Azman yang  menunaikan tanggungjawab menjaga Awie dengan baik.

“Sekarang saya mengambil tanggungjawab untuk jaga Awie tengokkan keadaan dia, Awie sendiri hendak tinggal di rumah ini kerana dekat dengan kubur arwah,” katanya.  

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jiboi Baru, Abd Razak Mohd. Idrus berkata, kisah Awie turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek yang turut melawat dan menghantar bantuan keperluan nya.

“Demi masa depan remaja ini, pejabat ADUN akan menguruskan kemasukan Awie ke Kolej Yayasan Negeri di Kuala Pilah dalam bidang kulinari kerana itu memang minat dia.

“Selain itu, penduduk kampung dan badan bukan kerajaan turut membantu, pihak masjid pula akan membantu pendidikan agamanya,” katanya.

Jelas Abd Razak, pihaknya kini dalam proses menguruskan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal untuk Awie.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Faridah di talian 010-2493282.- UTUSAN

 

The post `Sanggup tinggal sendirian untuk lawat kubur ayah’ appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*