‘Saya reda berdepan hukuman’

MELAKA: “Saya mengakui kesal dengan tindakan yang diambil dan terbuka untuk menerima apa juga bentuk tindakan daripada mana-mana pihak berhubung perbuatan saya”.

Itu luahan hati jurulatih skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun, Saiful Hadee Amar, 44, ketika sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat khas berkaitan insiden menampar dua pemain di Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) di Krubong di sini, petang tadi.

Saiful Hadee atau dipanggil Cikgu Hadee oleh para pemain berkata, dia tidak berniat untuk mendatangkan sebarang kecederaan, namun tindakan itu sekadar menaikkan semangat pemain yang pertama kali layak ke separuh akhir.

Dia yang juga seorang guru sekolah rendah di Alor Gajah dekat sini membuat permohonan maaf secara terbuka atas kelakuannya sewaktu pasukannya menentang Johor, Disember lalu.

“Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya dan harap perkara ini jadi pengajaran pada diri saya sendiri.

“Saya tidak berniat untuk menggunakan sebarang kekerasan dalam melatih pemain, memandangkan sudah melatih mereka sejak di bangku sekolah rendah dan menganggap kesemua mereka sebagai keluarga dan sumber kekuatan untuk terus membawa pasukan ke peringkat tertinggi.

“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku yang mana latihan dilakukan ada pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain saya, demi menaikkan semangat mereka sebagai seorang pemain yang berjuang bagi mencari setiap kemenangan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, bapa kepada salah seorang pemain yang ditampar, Abd. Halim Bakar, 50, mahu Saiful Hadee dikekalkan memandangkan perkara itu telah diselesaikan dengan baik sebelum ia menjadi tular dalam laman sosial.

Katanya, mereka sekeluarga mengenali jurulatih itu lebih lima tahun dan percaya bahawa tindakan menampar berkenaan bukan dengan niat mencederakan, sebaliknya untuk meningkatkan semangat anaknya agar dapat beraksi lebih baik.

Dalam pada itu, tambah Saiful Hadee, dia dengan lapang dada memohon maaf bukan sahaja kepada pemain terlibat serta ibu bapa, sebaliknya seluruh komuniti bola tampar. – UTUSAN

The post ‘Saya reda berdepan hukuman’ appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*