Saya sedia kemas beg

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner sedia melepaskan jawatannya jika diminta berbuat demikian oleh pihak pengurusan pasukan itu.

Pengendali kelahiran Croatia yang membimbing skuad Penyu sejak musim lalu itu menjelaskan, tiada seorang pun jurulatih yang tidak mahu kelabnya berjaya.

Steinbruckner yang lebih mesra disapa ‘Tommy’ berkata, sebagai jurulatih profesional dia sedia berbincang dengan pihak pengurusan berhubung perkara itu kerana apa yang lebih penting kelab terus maju dan berdaya saing.

“Sebagai jurulatih yang diberi kepercayaan membimbing TFC sejak musim lalu, saya sudah dan sentiasa mencari jalan untuk memberikan yang terbaik buat pasukan.

“Namun jika khidmat saya tidak diperlukan lagi, saya sedia kemas beg pada bila-bila masa, lagipun mana-mana jurulatih profesional di dunia mereka sedia untuk pergi (dipecat).

“Bagaimanapun pihak pengurusan boleh memanggil saya pada bila-bila masa bagi membincangkan perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan pertama Piala Shopee antara TFC menentang kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi.

Pada perlawanan itu, hasrat TFC untuk mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri musnah apabila tewas 2-3 menerusi jaringan Gabriel Costa, Pablo Carvalho dan Min Ratanak manakala dua gol TFC dijaringkan Manuel Ott dan Safawi Rasid.

sumber: BH

Terdahulu jurulatih berusia 58 tahun itu menjadi sasaran peminat setia yang mendesaknya supaya mengosongkan kerusi panas itu berikutan prestasi tidak konsisten pasukan termasuk gagal melangkah ke pentas final Piala FA musim ini.