London: Paul Scholes mengkritik keputusan kurang menyenangkan Manchester United yang menamatkan kontrak Sir Alex Ferguson selaku duta kelab itu.
Bekas pemain tengah ikonik Old Trafford itu mempertahankan bekas pengurusnya sebelum United seri 1-1 dengan Fenerbahce dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.
Legenda berusia 82 tahun itu telah beralih kepada peranan sebagai duta global selepas menamatkan tempoh 26 tahun selaku pengurus kelab itu.
Kerjaya duta itu dipercayai bernilai £2.13 juta (RM12 juta) setahun.
Bagaimanapun, awal bulan ini, ketua Ineos, Sir Jim Ratcliffe, dikatakan memaklumkan Ferguson dalam satu pertemuan bahawa kontraknya akan dihentikan.
Bercakap di TNT Sports, Scholes berkata: “Saya rasa ia agak tidak menyenangkan selepas apa yang sudah dilakukan oleh Ferguson bersama kelab ini.
“Seolah-olah tidak ada sedikit rasa hormat tetapi mereka adalah pemilik baru dan pemilik baru membuat perubahan dan mereka fikir apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik untuk kelab.
“Jika mereka fikir mereka boleh menjimatkan wang, mungkin sekitar £2 juta, dan menggunakannya di tempat lain, maka terserah kepada mereka.
sumber: HM
“Kelab ini banyak berhutang kepada Sir Alex Ferguson. Kejayaan yang dicapainya selama bertahun-tahun adalah sebab utama kedudukan kelab ini hari ini.
“Masa keputusan ini dibuat tidak tepat kerana kelab berada dalam prestasi yang sangat teruk. Mungkin ia boleh ditangguhkan atau dilakukan sebelum musim bermula atau pada akhir musim,” katanya.