KUALA LUMPUR: Jalan untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan khidmat bekas pengendali Vietnam, Pak Hang Seo kini terbuka luas.
Ia susulan ejen kepada Hang Seo, Lee Dong Jun dilaporkan bersedia untuk mengadakan rundingan bersama FAM sekiranya benar-benar berminat dengan khidmat pengendali dari Korea Selatan itu.
Media Vietnam, VnExpress melaporkan Dong Jun sebelum ini pernah berjumpa dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin namun tiada perbincangan mengenai usaha menjadikan Hang Seo sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.
“Saya ada berbual dengan presiden persatuan bola sepak seluruh dunia termasuk Datuk Hamidin Mohd Amin. Namun perbincangan merangkumi pelbagai topik dan tiada perbincangan untuk permohonan jawatan ketua jurulatih di Malaysia.
“Sekiranya Malaysia berminat dengan Park, mereka perlu membuat tawaran kepada saya terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya boleh berbincang dengan Park untuk pertimbangan,” katanya seperti dilaporkan VnExpress.
Hamidin dalam sidang media pada Khamis lalu mengakui Hang Seo menjadi salah seorang jurulatih yang berada dalam radar FAM untuk mengemudi Harimau Malaya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya ketika ini akan membuat penilaian rapi terlebih dahulu terhadap prestasi Pau Marti Vicente sebelum memutuskan untuk mengambil ketua jurulatih baharu buat Harimau Malaya.
sumber: BH
Vicente dilihat memiliki tempoh hingga awal tahun depan untuk membuktikan keupayaannya bermula dengan dua aksi dalam Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung, Rabu dan Ahad ini.