Segelintir Umat Islam Indonesia Sambut Aidilfitri Hari Ini

indonesia hari raya hari ini

Segelintir Umat Islam Indonesia Sambut Aidilfitri Hari Ini

Segelintir umat Islam di Indonesia dilapor telah meraikan 1 Syawal hari ini selepas melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Daerah Istimewa Yogyakarta.

Memetik CNN Indonesia, solat sunat tersebut dilakukan di Masjid Aolia Gunungkidul pada jam 6.30 pagi tadi mengikut waktu Indonesia.

Ratusan jemaah dilihat melaksanakan ibadah solat itu dan bersalaman bersama jemaah lain di kawasan berkenaan sebelum pulang ke kediaman masing-masing.

Pimpinan jemaah Masjid Aolia, Raden Ibnu Hajar Pranolo berkata penetapan Hari Raya Aidilfitri yang lebih awal daripada keputusan pemerintah dibuat berdasarkan kalendar mereka.

Menerusi kalendar itu, ia menetapkan bahawa 1 Syawal telah jatuh pada Khamis, 20 April yang merupakan hari ini.

“Malam tadi malam ke-30 Ramadan,” kata Ibnu Hajar yang juga dikenali sebagai Mbah Benu.

Bagi Ibnu Hajar, Aidilfitri tahun ini membawa makna untuk terus menjaga keamanan sebagaimana yang disampaikannya melalui khutbahnya.

“Kekalkan keharmonian sesama kita, satu rumah tangga dengan jiran tetangga, satu dusun, tiada benci. 

“Bersama kita teguh, jika berpisah, hancur Indonesia,” pesannya.

Anak ketiga Ibnu Hajar, Musa Assiqbilah berkata solat sunat Aidilfitri yang dilakukan jemaah Masjid Aolia diadakan di sejumlah tempat di Gunungkidul.

BACA: Umat Islam Di Singapura, Indonesia Dan Thailand Sambut Aidilfitri Pada Sabtu

Ditubuhkan sejak 1983

Dakwanya, jemaah yang hadir di masjid tersebut merupakan penduduk di seluruh Daerah Istimewa Yogyakarta, Jawa Tengah dan pelbagai kawasan lain.

Ia turut dihadiri oleh jemaah di Jakarta, Bekasi, Bogor dan Bandung.

“Jemaah Aolia hari ini semua menunaikan solat hari raya serentak, di Panggang sahaja terdapat 10 lokasi (solat hari raya),” ujarnya.

Dia turut memaklumkan, jemaah Aolia telah melakukan ibadah puasa sejak Rabu 22 Mac lalu.

“Kita yakin dengan ilmu mursyid kita akan tentukan hari raya tahun ini, jadi wajib dilaksanakan,” jelasnya.

Dia turut memaklumkan bahawa jemaah Aolia mengikut Ahlussunnah wal jamaah atau Aswaja dan telah ditubuhkan sejak tahun 1983.

“Aolia adalah jemaah, bukan organisasi. Jemaah itu daripada Ibnu Hajar. Nama jemaah itu ialah Masjid Aolia yang berpusat di Masjid Aolia,” katanya.

Sumber: CNN Indonesia

The post Segelintir Umat Islam Indonesia Sambut Aidilfitri Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*