Selangor jadi ‘lauk’ JDT

KUALA LUMPUR: Final Piala FA 2024 yang sepatutnya sengit menjadi bagaikan ‘aksi petang-petang’ apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah mencipta sejarah baharu dengan muncul pasukan pertama memenangi hatrik Piala FA selepas membelasah Selangor FC (SFC) 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malah, skuad bimbingan Hector Bidoglio turut mencipta satu lagi rekod baharu apabila menjadi pasukan pertama meledak enam gol dalam final Piala FA sejak pertama kali dipertandingkan pada 1990.

Kemenangan ini menyaksikan skuad Harimau Selatan menghimpun empat kejuaraan Piala FA – hanya satu di belakang SFC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menjulang kejuaraan terbanyak dengan lima piala setakat ini.

Kekalahan dengan enam gol di final itu jelas tidak dapat diterima dengan pasukan dengan kaliber seperti SFC dan mereka terus kempunan untuk menjulang trofi selepas kali terakhir memenangi trofi kompetitif adalah Piala Malaysia 2015.

Pada aksi itu, JDT tampil dengan corak menyerang dan terus mengasak kubu SFC dengan corak permainan agak keras diperagakan menyaksikan beberapa terjahan dilakukan kedua-dua pasukan selain beberapa ‘pergaduhan’ kecil tercetus sepanjang babak pertama.

Selepas beberapa percubaan daripada permainan terbuka disekat SFC, JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-26 apabila sepakan percuma menarik Juan Muniz menewaskan Sam Somerville untuk gol pembukaan perlawanan.

Berbaki empat minit babak pertama, JDT melebarkan jurang apabila hantaran lintang Oscar Arribas disudahkan Arif Aiman Hanapi untuk meletakkan JDT selesa dengan 2-0 menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, SFC ‘bernafsu’ untuk mengurangkan defisit gol menerusi percubaan lambung Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-54 yang diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi namun Alvin Fortes memberikan ‘nyawa’ buat SFC dengan jaringan pertama pada minit ke-58.

Bagaimanapun, kegembiraan SFC hanya bertahan tiga minit apabila Bergson da Silva mengembalikan kelebihan dua gol buat JDT selepas percubaannya gagal ditangkap kemas Somerville dan meleret memasuki gawang SFC untuk gol ketiga JDT.

sumber: BH

Peluang SFC untuk bangkit tampak bagai tertutup apabila Muniz menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-67 selepas rembatan derasnya menewaskan Somerville buat kali keempat dan Somerville digantikan Azim Al-Amin selepas gol keempat JDT itu.

Tiada belas kasihan ditunjukkan JDT buat SFC meskipun selesa dengan empat gol apabila Heberty Fernandes menambah gol kelima pada minit ke-75 sebelum Muniz melengkapkan hatriknya menerusi satu lagi sepakan percuma pada minit ke-90.