LONDON: Chelsea semakin hampir untuk mengikat bintang Napoli bernilai £85 juta (RM484 juta), Victor Osimhen dalam satu perjanjian luar biasa pertukaran pemain.
Bekas bos Blues, Antonio Conte, kini mengendalikan kelab Itali itu, mahukan pemain buangan Stamford Bridge bernilai £97.5 juta (RM555 juta), Romelu Lukaku, pemain tengah muda bernilai £17 juta (RM96 juta) Cesare Casadei selain tambahan £39 juta (RM222 juta) bagi memuktamadkan perpindahan itu.
Penyerang Nigeria, Osimhen, 25, mahu meninggalkan kelab Serie A itu, manakala penyerang Belgium, Lukaku, 31, terdesak untuk menamatkan karier di Chelsea selepas dua tahun beraksi secara pinjaman.
Jutawan The Blues, Todd Boehly sudah membelanjakan £152 juta (RM866 juta) dalam jendela perpindahan semasa, menyaksikan jumlah keseluruhan pembelian pemain kepada £1.114 bilion (RM6.32 bilion) sejak beliau mengambil alih dua tahun lalu.
Bos baharu Chelsea, Enzo Maresca berminat dengan Osimhen selepas gagal mendapatkan Samu Omorodion dengan harga £34.5 juta (RM197 juta) dari Atletico Madrid.
Osimhen sudah lama berada dalam radar Chelsea.
Dia menyumbat 15 gol dalam Serie A musim lalu dan kini mahu menguji keupayaannya dalam Liga Perdana Inggeris.
Namun perjanjian pertukaran itu akan menyebabkan Chelsea rugi besar, secara efektif menerima hanya £46 juta (RM262 juta) bagi dua pemain yang menyebabkan mereka berbelanja £114.5 juta (RM649 juta) dalam tiga tahun terakhir.
Napoli dan Chelsea sudah berunding mengenai perjanjian pertukaran secara pinjaman tetapi Osimhen difahamkan lebih suka perpindahan tetap ke kelab barat London itu.
sumber: BH
Dia dikaitkan dengan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain tetapi The Blues mendahului dalam perebutan untuk mengikatnya.
Nicolas Jackson adalah penyerang utama musim lalu dengan pemain Perancis, Christopher Nkunku sebagai penggantinya di Stamford Bridge.
Armando Broja kembali daripada pinjaman di Fulham tetapi khidmatnya tidak begitu diperlukan.