Sistem robotik mudahkan pembedahan kompleks

BERBANDING sedekad lalu, sektor kesihatan turut menerima manfaat daripada kepesatan dalam bidang teknologi. Kini, banyak hospital yang mengaplikasi pelbagai inovasi dalam sektor tersebut bagi memberi rawatan terbaik.

Pusat Perubatan Sunway yang merupakan sebuah hospital pintar turut tidak melepaskan peluang untuk berbuat demikian dengan menggunakan sistem pembedahan robotik.

Malah, hospital itu telah berjaya menjalankan lebih 1,000 pembedahan robotik dalam bidang ortopedik, ginekologi, urologi dan pembedahan am sejak sistem berkenaan diperkenalkan.

Sejak 2016, Pusat Perubatan Sunway telah menggunakan sistem pembedahan, da Vinci Si. Kini, pusat perubatan itu memperkenalkan sistem pembedahan generasi keempat terbaharu iaitu da Vinci Xi.

Melalui teknologi pembedahan da Vinci Xi, ia menjadikan pembedahan yang kompleks lebih mudah serta meningkatkan prestasi pembedahan.

Ia juga membolehkan pakar bedah mempunyai rangkaian pergerakan lebih luas serta penglihatan bertambah jelas semasa pembedahan.

Pengarah Urusan Kumpulan Perubatan Sunway (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan), Dr. Khoo Chow Huat berkata, sejak memperkenalkan sistem robotik di dalam prosedur pembedahan, matlamat mereka adalah untuk merevolusikan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Kami mencari kaedah-kaedah yang inovatif untuk meningkatkan pengalaman pesakit sambil memastikan keselesaan dan kesejahteraan mereka.

“Kami berasa gembira dapat membantu pesakit. Kami berharap dapat menolong lebih ramai lagi pesakit pada masa depan,” katanya.

SEORANG pakar bedah menunjukkan cara penggunaan sistem pembedahan robotik, da Vinci Xi.

Dalam pada itu, pakar bedah utama pembedahan da Vinci Xi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Tan Ee Ping berkata, sistem generasi keempat itu membawa pelbagai fungsi baharu berbanding tiga sistemnya terdahulu.

“Antaranya adalah bahagian instrumen lengan di bahagian atas membolehkan capaian anatomi dari hampir semua kedudukan.

“Selain itu, ia mempunyai keupayaan untuk memasang endoskop pada mana-mana empat lengan. Ia juga hadir dengan saiz lengan lebih kecil dan nipis serta sendi baharu yang membolehkan pelbagai pergerakan,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang sistem tersebut, Pengurus Besar, Perkhidmatan MIS Pembedahan Robotik dan Urologi, Helen Ng Hoy Loon menjelaskan, teknologi pembedahan robotik di hospital itu mampu memberi manfaat kepada pesakit dan pakar bedah.

Menurutnya, dia memuji keupayaan teknologi itu yang boleh membuat potongan lebih kecil dan tepat serta bergerak secara konsisten.

“Ini membolehkan pesakit pulih dengan kesan parut minimum dan kehilangan darah yang kurang semasa pembedahan.

“Sistem yang sangat pintar ini membolehkan pakar bedah kami mampu memberikan pengalaman pemulihan dengan lebih cepat dan selesa kepada pesakit.

“Dengan teknologi ini, saya merasakan bahawa kami membantu pesakit menjalani kehidupan tanpa rasa sakit,” katanya.

Selain sistem da Vinci Xi, pusat perubatan tersebut turut mempunyai teknologi robotik lain seperti Mako SmartRobotics dan ROSA yang digunakan untuk pembedahan penggantian lutut serta pinggul.

Teknologi robotik itu membolehkan model sendi tiga dimensi (3D) pesakit diperoleh dari imbasan CT atau sinar-X untuk merancang prosedur dengan lebih awal.

Melalui sistem ini, ia membolehkan penempatan implan dengan lebih tepat, mengurangkan pemotongan tulang, memberi perlindungan tambahan pada tisu lembut.

Selain itu, ia mengurangkan kehilangan darah dan kesakitan selepas pembedahan serta mempercepatkan proses penyembuhan.

The post Sistem robotik mudahkan pembedahan kompleks appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*