Siti Bainun Akui Bella Cedera Ketika Berada Di Kondiminium

siti bainun akui bella cedera

Siti Bainun Akui Bella Cedera Ketika Berada Di Kondiminium

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hari ini mengakui bahawa kecederaan pada Bella berlaku, semasa remaja perempuan sindrom Down itu berada di kondominiumnya di Wangsa Maju di sini.

Siti Bainun, 31, berkata dia juga pernah melihat kecederaan tersebut sepanjang Bella tinggal di kondominium berkenaan, namun menafikan dia telah mengabaikan Bella sepanjang remaja itu berada dalam jagaannya.

Siti Bainun berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria pada perbicaraan bela diri wanita itu, yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun tersebut.

Zahida: Saya cadangkan kesemua kecederaan itu berlaku semasa Bella berada di kondominium kamu?

Siti Bainun: Setuju.

Sementara itu, tertuduh tidak dapat memastikan kesemua kecederaan dialami Bella dalam video yang dirakam oleh saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin di kondominiumnya (Siti Bainun) pada 24 Jun 2021 adalah sama dengan kecederaan Bella apabila sampai di Hospital Kuala Lumpur.

Zurianty dalam keterangannya sebelum ini mengakui beliau merakam video berkenaan untuk diberikan kepada aktivis kanak-kanak dan penasihat Rumah Bonda, Syed Azmi Alhabshi sebagai bukti bahawa terdapat penderaan terhadap remaja perempuan itu.

BACA: Tak Pernah Beri Bella Makan Cili, Najis Dan Simbah Air Panas – Siti Bainun

Disoal seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, Siti Bainun berkata dia tidak pernah meninggalkan anak-anak jagaannya termasuk Bella tanpa pengawasan orang dewasa jika keluar rumah, kerana bekas penghuni rumah itu Yasmin Nahar Mahmood (saksi pendakwaan kelima) berada di kondominium tersebut.

Zilfinaz: Orang dewasa yang awak maksudkan adalah Yasmin dan berapa umurnya?

Siti Bainun: Ya, Yasmin berumur 18 tahun.

Tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan Zilfinaz bahawa Yasmin tiada kemahiran dan kelayakan untuk menjaga anak-anak sindrom Down.

Wanita itu juga menafikan dia gagal menjaga Bella, meskipun dia tidak mendapat latihan atau bengkel mengenai penjagaan anak-anak sindrom Down.

Bagaimanapun, Siti Bainun bersetuju dengan cadangan Zilfinaz bahawa anak-anak sindrom Down memerlukan perhatian lebih, berbanding kanak-kanak normal.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

Sumber: BERNAMA

The post Siti Bainun Akui Bella Cedera Ketika Berada Di Kondiminium appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*