“Speech Delay Sebab Tanam Uri Terlalu Dalam” Kongsi Tips Pelik Untuk Raih Pengikut Di Media Sosial Jadi Trend?

“Speech Delay Sebab Tanam Uri Terlalu Dalam” Kongsi Tips Pelik Untuk Raih Pengikut Di Media Sosial Jadi Trend?

Penggunaan media sosial yang semakin berleluasa mendorong kepada berlakunya kebebasan bersuara dari segenap lapisan masyarakat. Kebebasan bersuara sememangnya mempunyai kebaikan dalam membangkitkan isu penting kehidupan rakyat terutama bagi menegakkan hak dan kebenaran.

Walau demikian, ia juga perlu mempunyai limitasi dan perlu akur kepada standard moral demi kemaslahatan masyarakat. Jika kebebasan diberi secara total, ia boleh membawa akibat buruk seperti penyebaran maklumat palsu yang tidak berasas sekaligus berupaya memesongkan orang lain.

Jika diperhatikan, ada antara individu berkepentingan menggunakan kebebasan bersuara untuk meraih pengikut yang ramai dengan ‘ilmu’ atau tips pelik di media sosial. Malah, ada yang membuat duit dengan mencipta maklumat salah serta bertindak berani mengulas atau mengkritik sesuatu perkara di luar kepakaran mereka.

Kegiatan ini semakin menjadi-jadi apabila ada antara mereka mempunyai ramai pengikut tersendiri yang akan melindungi ‘pempengaruh’ kesayangan mereka daripada kecaman masyarakat, malah ada yang sanggup ‘menyerang’ kenyataan pakar sesuatu bidang itu sendiri.

Menurut Pew Research Center, ramai pakar khuatir sekiranya sikap manipulatif sebahagian pengguna di dalam Internet menjejaskan lingkungan selamat dalam platform tersebut.

Gambar hiasan: BERNAMA

Kongsi tips pelik untuk ‘buat duit’

Baru-baru ini tular tips pelik merawat anak yang mengalami kelewatan pertuturan atau speech delay. Menurut individu terbabit, masalah itu boleh terjadi sekiranya uri ditanam terlalu dalam dan ibu bapa perlu menyediakan ‘air penawar’ yang terdiri daripada air didihan bubur nasi, bilasan terakhir mandian si ibu pada jam 1.30 tengah hari Selasa serta air daripada tujuh kolah masjid. Tips tersebut mendapat respon yang pelbagai daripada masyarakat, malah seorang ahli patologi atau ahli terapi masalah pertuturan menyifatkan tips itu sebagai mengarut dan khurafat.

Selain itu, ada juga individu berkongsi tips melayan batin suami yang menimbulkan kontroversi dengan menyarankan suami memperkosa isteri sekiranya kehendak nafsu mereka tidak terpenuhi tanpa mengambil kira keadaan kesihatan fizikal dan mental isteri. Individu tersebut juga menyediakan kelas berbayar dan menjual produk kononnya untuk menambah baik hubungan suami isteri.

Tak terhenti di situ, kita juga pernah menyaksikan kewujudan ‘pempengaruh’ berkot putih yang berkongsi tips merawat tubuh badan dengan cara menepuk tangan. Perkongsian ini mendapat tentangan daripada golongan profesional kesihatan yang mendakwa ia tidak bersandarkan ilmu perubatan yang sebenar.

Sumber: Public Health Malaysia

Dalam satu laporan oleh CEU Democracy Institute bertajuk “The Business of Misinformation – Final Report: How Misinformation Became a Profitable Business in Eastern Europe”, penyelidik mendakwa terdapat kelompok yang menggunakan berita palsu untuk menjana keuntungan kewangan.

Malah berdasarkan statistik dikeluarkan Statista.com, pada 2021, keuntungan sebanyak 2.6 bilion USD berjaya diperoleh daripada laman web yang mengeluarkan berita palsu di seluruh dunia pada tahun 2021.

Lantang Di Luar Kepakaran Punca Misinformation

Jangan tak tahu, kelantangan dalam membahaskan perkara di luar kepakaran, boleh juga menjadi punca penyebaran maklumat palsu sekaligus menyebabkan misinformation. Menurut Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), berita palsu boleh terjadi akibat menyebarkan sesuatu maklumat terlalu cepat tanpa memeriksa kesahihannya atau rujuk kepada sumber yang salah.

Kredit: CMCF

Kadang-kadang maklumat palsu ini boleh berlaku juga kerana individu mempunyai niat untuk menyesatkan penerima, menurut CMCF. Sama ada maklumat itu peribadi atau tidak, salah tetap salah kerana perbuatan itu mengundang padah.

Walaupun penyebaran maklumat palsu itu dilihat kecil tetapi ia memberi impak yang besar dalam komuniti. Kerana gila dengan perhatian, individu sanggup melakukan apa sahaja asalkan terkenal sungguhpun dengan berkongsi maklumat palsu.

Justeru, sebagai pengguna media sosial yang bijak, kita perlulah menapis segala maklumat yang diterima dan memastikan kesahihan sesuatu berita dengan merujuk kepada pakar yang berautoriti dalam sesuatu bidang.

*Artikel ini dibawakan oleh Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF).

The post “Speech Delay Sebab Tanam Uri Terlalu Dalam” Kongsi Tips Pelik Untuk Raih Pengikut Di Media Sosial Jadi Trend? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*