Status Islam Wanita Adalah Kekal, Mahkamah Tinggi Tidak Boleh Batalkan Keputusan Mahkamah Syariah -MAIS

SHAH ALAM – Mahkamah Rayuan hari ini telah membenarkan rayuan Perayu iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 20/07/2017 yang memuktamadkan status agama Islam Responden, seorang wanita yang telah didaftarkan sebagai muallaf pada tahun 1991, adalah suatu keputusan yang mengikat Responden.

Dalam kes ini, ibu Responden telah mendaftarkan pengislaman Responden semasa dia masih kecil, dan suatu perakuan memeluk Islam telah dikeluarkan atas nama Responden pada 17/05/1991. Responden kemudiannya telah pun memfailkan permohonan pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Islam di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah pun menolak permohonan Responden dan mengisytiharkan Responden sebagai seorang yang menganut agama Islam pada tahun 2017. Responden telah merayu keputusan itu, dan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) pada tahun 2021 telah menolak rayuan Responden dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, antara lain, mahkamah bersetuju bahawa cabaran terhadap keputusan Mahkamah Syariah tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil adalah bersifat ‘res judicata’ dan satu penyalahgunaan proses mahkamah oleh Responden.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam tidak boleh mengubah atau mengakas keputusan yang telah diputuskan secara sah oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perkara ini bercanggah dengan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan ini, Responden adalah kekal sebagai seorang yang beragama Islam.

Panel hakim Mahkamah Rayuan, Y.A Datuk Yaacob Bin Haji Md Sam dan Y.A Dato’ Mohd Nazlan Bin Mohd Ghazali secara majoriti bersetuju dengan rayuan pihak Perayu-perayu manakala Y.A Datuk Ravinthran A/L Paramaguru berbeza keputusan.

Dalam kes ini, MAIS diwakili oleh Tuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Puan Majdah Muda, manakala Kerajaan Negeri Selangor diwakili oleh Y.B Dato’ Salim bin Soib, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan Pn. Husna Abd Halim daripada Kamar Penasihat Undang-undang Negeri Selangor.

MAIS mengucapkan kesyukuran dan menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan ini. Keputusan ini dilihat sebagai suatu pengukuhan pengiktirafan terhadap kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan di Malaysia yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. MAIS juga menasihatkan masyarakat agar tidak menyalahgunakan proses mahkamah dan sentiasa menghormati kedudukan Mahkamah Syariah sebagai suatu institusi keadilan.

Kenyataan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS.

The post Status Islam Wanita Adalah Kekal, Mahkamah Tinggi Tidak Boleh Batalkan Keputusan Mahkamah Syariah -MAIS appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*