Suami isteri didakwa salah guna harta, pecah amanah syarikat sendiri

SHAH ALAM – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan salah guna harta dan pecah amanah bernilai keseluruhan RM602,000 milik syarikat sendiri, Rekabina Construction Sdn. Bhd. antara 2020 dan 2021.

Tertuduh, Tan Ching Peng, 60, dan isterinya Tan Siew Moi, 57, masing-masing membuat pengakuan tersebut selepas 18 pertuduhan termasuk pilihan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan tiga pertuduhan bersama, mereka yang mempunyai tiga anak itu didakwa tidak jujur menyalahgunakan harta atas nama Ching Peng sebagai Ketua Pegawai Operasi iaitu wang berjumlah RM220,000 daripada akaun bank milik syarikat.

Mereka juga didakwa tiga pertuduhan pilihan pecah amanah dengan jumlah sama.

Dalam pada itu, Siew Moi yang merupakan pengarah syarikat tersebut didakwa enam lagi pertuduhan salah guna harta untuk diri sendiri berjumlah RM382,000 juga daripada akaun bank milik syarikat mereka.

Bagi enam pertuduhan pilihan, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang syarikat berjumlah sama melalui cek atas namanya.

Kesemua perbuatan itu dilakukan suami isteri tersebut di sebuah cawangan bank di Kota Kemuning di sini antara 3 Disember 2020 hingga 8 Oktober 2021.

Bagi kesalahan salah guna harta, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun, denda dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pecah amanah pula didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairudin kemudian menawarkan jaminan RM10,000 kepada pasangan itu bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan dan serahan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Peguam Asmadi Hussin mewakili tertuduh memohon jaminan paling minimum selain syarikat itu ketika ini merupakan kontraktor utama menjalankan projek pembinaan di Selayang serta mereka masih bertanggungjawab terhadap syarikat terbabit.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada Ching Peng dan RM80,000 pula untuk Siew Moi dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Sebutan semula kes pada 16 Februari depan. – KOSMO! ONLINE

The post Suami isteri didakwa salah guna harta, pecah amanah syarikat sendiri appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*