KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC, sudah membuat permohonan rasmi kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai lokasi tuan rumah bagi aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 22 September ini.
Permintaan luar kebiasaan itu berikutan Stadium Sultan Muhammad ke IV (SSMIV) Kota Bharu masih dalam proses naik taraf sehingga pertengahan Oktober ini.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan bersama JDT berhubung permintaan pasukan.
Katanya, pihaknya turut mengambil kira jadual perlawanan yang dikeluarkan MFL.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi kebenaran kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI.
“Kami masih menunggu kebenaran MFL berkenaan perubahan lokasi perlawanan,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Rozi berkata, pemilihan SSI dibuat berikutan skuad kijang emas turut akan berdepan Negeri Sembilan di Paroi pada 27 September sebagai pelawat.
“Oleh kerana lokasi berdekatan, maka KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI bagi menjimatkan kos pengurusan.
sumber: BH
“Kami sedar permohonan adalah di luar kebiasaan namun berharap MFL dapat mempertimbangkan perkara ini dengan mengambil kira masalah penutupan SSMIV,” katanya.