KUALA LUMPUR: Masanya sudah tiba buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk beralih ke fasa seterusnya dalam kehidupannya.
Ketua jurulatih skuad negara, John Beasley, berkata dia mahu melihat pelumba berusia 36 tahun itu membabitkan diri dalam pengurusan sukan sekali gus membantu Malaysia meningkatkan lagi mutu sukan negara pada masa depan.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman sebelum ini mengumumkan dia akan bersara sebaik tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
“Inilah masanya, dia akan bersara daripada skuad kebangsaan. Dia sudah menabur bakti selama 17 tahun untuk negara. “Dia melalui kerjaya yang panjang dan cemerlang, dia memenangi pingat pertama Kejohanan Dunia pada 2009.
“Saya fikir ini adalah masa yang terbaik untuk beralih ke fasa seterusnya dalam kehidupannya. Dia mempunyai empat orang anak perempuan dan masih ada enam subjek (sains sukan) yang perlu diselesaikan di universiti.
“Saya fikir dia hanya mahu berlumba untuk berseronok selama dua tahun akan datang dalam keirin sahaja, mungkin di Jepun atau di tempat lain,” kata Beasley.
Jurulatih dari Australia itu yang bertanggungjawab membentuk Azizulhasni sejak dari zaman remaja sehingga menjadi pelumba utama dunia, berkata anak jati kelahiran Dungun, Terengganu itu masa dua tahun akan datang untuk merancang bagaimana kehidupannya akan berjalan.
“Bagi saya, nilainya terletak pada pengurusan (sukan). Menguruskan sukan berprestasi tinggi di Malaysia adalah sesuatu yang baik tetapi itu hanya matlamat peribadi saya untuknya.
“Dia boleh membuat perubahan yang besar dalam sukan di Malaysia tetapi dia harus mahu melakukannya.
“Dia perlu bangun setiap hari dengan semangat yang kuat untuk membuat perubahan, semangat saya adalah ini (melatih),” katanya.
Azizulhasni berdepan penamat yang mengecewakan di Olimpik Paris apabila dia disingkirkan daripada pusingan pertama keirin, awal pagi tadi.
sumber: BH
Pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin en Yvelines itu, Azizulhasni yang disandarkan harapan untuk menggungguli acara kegemarannya dan sekali gus membutirkan pingat emas pertama negara di Olimpik, dibatalkan penyertaannya selepas dia mendahului derny (pacer).
Bagaimanapun, Azizulhasni meraih pelbagai kejayaan membanggakan sepanjang kerjayanya termasuklah muncul juara dunia keirin pada 2017 selain meraih dua pingat Olimpik – gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.