Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib dan Rosmah

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah telah menarik balik darjah kebesaran negeri yang dianugerahkan kepada Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Pembatalan itu berkuat kuasa hari ini, selepas pasangan itu disabitkan kesalahan di mahkamah.

Kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Haris Kasim menyebut penyingkiran darjah kebesaran itu selaras dengan hak prerogatif sultan untuk berbuat demikian di bawah undang-undang tubuh negeri dan statut mengenai gelaran.

Sultan Selangor sebelum ini telah menggantung gelaran untuk Najib dan Rosmah pada 2019, sementara menunggu keputusan kes mahkamah mereka.

“Beliau (Najib) telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” kata Haris melalui kenyataan Selangor Royal Office.

Sementara itu, Rosmah dianugerahkan SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

“Beliau (Rosmah) telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

“Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” kata kenyataan itu lagi.

Pasangan itu juga telah dilucutkan gelaran mereka di Negeri Sembilan pada 2018.

Bagaimanapun, pasangan itu masih mempunyai banyak gelaran Datuk Seri dari negeri lain.

Najib mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak. Rosmah mempunyai gelaran dari Pahang, Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Seri atau yang setaraf dengannya.

BACA: Jabatan Penjara Malaysia Nafi Najib Ditempatkan Di Sebuah Rumah ‘Khas’

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*