Suspek kes bunuh pensyarah Palestin di KL sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad



KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Palestin hari ini mengesahkan telah menahan seorang suspek pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Al Batsh Fatma.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara, Iyad Albizm, dalam satu kenyataan berkata, individu itu telah ditahan di Palestin, namun tidak mendedahkan lokasi serta tarikh penahanannya.

“Agensi Keselamatan Palestin sentiasa menjalankan siasatan susulan terhadap kes pembunuhan syahid Fadi Albatsh (Dr Fadi) di Malaysia pada 21 April 2018.

“Melalui siasatan berterusan yang dijalankan oleh pihak Keselamatan Dalam Negeri, pengakuan seorang individu yang ditahan menunjukkan penglibatannya dalam pembunuhan asy-syahid Albatsh (Dr Fadi) atas arahan agensi Mossad Israel.

“Siasatan kes itu masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan ringkas diterima Astro AWANI, hari ini.

Terdahulu, media Malaysia hari ini melaporkan, suspek pembunuhan Dr Fadi dipercayai sudah ditahan di Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran terbaharunya di Facebook, pagi ini mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan.

“Pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.

“Perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap. Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di Kuala Lumpur ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” katanya.

Susulan itu, Berita Harian melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.

Pembunuhan saintis muda Palestin, Dr Fadi di negara ini menjelang waktu Subuh pada 21 April 2018 itu menggemparkan Malaysia dan negara Islam seluruh dunia.

Ia mendapat liputan meluas media antarabangsa terutama di rantau Asia Barat, malah pembunuhan ini turut diberi liputan di portal-portal berita di Israel. – Astro Awani

Baca: 5 sebab mengapa wanita suka lelaki berkepala botak


Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*