Syarikat pasang CCTV awasi pekerja dalam tandas

Sebuah syarikat di China menjadi sasaran kecaman netizen selepas memasang sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di bahagian atas bilik air bagi memantau aktiviti pekerja ketika menggunakan tandas, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Syarikat teknologi tersebut dikenal pasti sebagai China Aviation Lithium Battery Technology Co., Ltd. dan terletak di bandar pelabuhan Xiamen, wilayah Fujian.

Beberapa imej CCTV itu menjadi tular di media sosial China baru-baru ini. Ia memaparkan pekerja sedang duduk di atas mangkuk tandas sambil memegang rokok dan telefon bimbit.

Gambar-gambar tersebut turut menyertakan beberapa ‘langkah pembetulan’ yang dicadangkan oleh jabatan sumber manusia.

Dua pekerja terbabit dikatakan dipecat, manakala kakitangan ketiga dikenakan penalti, di mana skor prestasi bulanannya dipotong menjadi sifar.

Selepas mencetuskan kontroversi di media sosial dan dihubungi beberapa agensi berita, syarikat itu mengaku bahawa gambar-gambar yang didedahkan itu dirakam oleh sistem pengawasan CCTV.

Bagaimanapun, ia menambah bahawa pemasangan CCTV itu hanya berlaku tahun ini, bertujuan untuk memantau aktiviti merokok di dalam tandas syarikat.

Kenyataan tersebut bagaimanapun diselar banyak pihak yang berkata, tindakan memasang CCTV di dalam bilik tandas sama sekali tidak boleh diterima.

“Bagaimana dengan soal privasi?” kata seorang pengguna Weibo.

“Mereka melayan manusia seperti binatang tanpa sedikit pun rasa hormat, segan silu atau nilai kemanusiaan,” kata netizen lain.

Briged Pengawalan Keselamatan Buruh Daerah Xiamen Xiang’an dilaporkan masih menyiasat kes tersebut dengan pakar-pakar perundangan berkata, syarikat teknologi itu perlu bertanggungjawab.

Ini kerana pemasangan CCTV bukan di kawasan umum seperti tandas jelas melanggar privasi kakitangan. – Agensi

BACA: Rumah jagaan warga emas minta maaf upah penari bogel hiburkan penghuni

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*