Tahun Baharu Cina: PLUS tingkat kawalan keselamatan, tambah anggota peronda

PETALING JAYA- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengawal pergerakan lalu lintas di semua lebuh raya bawah kendaliannya.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya komited menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan selesa untuk orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh rayanya pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Kami menjangkakan sebanyak 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kami pada hari-hari puncak (hari-hari yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi) iaitu pada 20, 21 dan 24 Januari ini.

“Ia merupakan peningkatan sebanyak 20 paratus berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria memaklumkan PLUS telah membuat persediaan awal dengan merancang strategi dalam mendepani lonjakan pertambahan jumlah kenderaan dalam satu-satu masa sepanjang tempoh tersebut.

“Fokus kami pada perayaan kali ini adalah aspek keselamatan di lebuh raya di mana pelbagai strategi telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan.

“Pada masa yang sama, kami memohon kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sepanjang musim perayaan yang akan datang,” ujarnya.

Menurut Zakaria, penunggang motosikal menyumbang kepada kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan jumlah kemalangan maut di lebuh raya PLUS pada tahun 2022.

“Manakala, kemalangan-kemalangan yang membabitkan kenderaan berat pula sering menyebabkan kesesakan yang teruk memandangkan ia memerlukan tempoh yang agak panjang untuk dialihkan dan diselesaikan serta memerlukan kehadiran dan bantuan jentera- jentera berat seperti kren dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kolebrasi bersama PDRM dan JPJ adalah untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya pada musim perayaan ini.

“Selain daripada itu, bagi meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian lebuh raya PLUS termasuklah di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada musim perayaan ini, jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2 Ronda akan ditambah kepada 265 pasukan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan.

“Pada perayaan kali ini, PLUS juga akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan dan LPT2 untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang.

“Pemandu juga dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tahun Baharu Cina: PLUS tingkat kawalan keselamatan, tambah anggota peronda appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*