Tahun Melawat Ipoh 2023 dilancar

IPOH: Lebih 10,000 orang menghadiri majlis Pelancaran Tahun Melawat Ipoh 2023 sempena ambang tahun baharu di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selain beliau turut merasmikan program Starvendors Foodtival X #TravelPeraklah 2022 yang diadakan sempena sambutan tahun baharu 2023.

Walaupun tiada sebarang acara sambutan ambang tahun baharu berikutan pengumuman Perdana Menteri minggu lepas, termasuk tiada pertunjukan bunga api seperti mana kebiasaan, program malam tadi tetap mendapat sambutan yang hebat daripada pengunjung.

Pelancaran dimeriahkan dengan kehadiran beberapa artis terkenal tanah air termasuk Ifa Raziah, Elyana, Pempengaruh Tiktok, Izzue Islam dan ramai lagi.

Program Starvendors Foodtival X #TravelPeraklah 2022 berlangsung selama tiga hari bermula 30 Disember lalu yang mencatat kunjungan keseluruhan lebih 350,000 orang.

Sementara itu, Saarani berkata, inisiatif untuk menjadikan 2023 sebagai Tahun Melawat Ipoh sebagai langkah yang sangat tepat untuk menonjolkan lagi kekuatan dan kehebatan Ipoh sebagai antara lokasi percutian yang mesti dilawati.

Menurutnya, bandaraya Ipoh banyak menerima pengiktirafan dunia dari aspek pelancongan antaranya Ipoh sebagai antara tiga bandar kopi terbaik di Asia oleh New York Times dan Lonely Planet pada 2019, antara 10 destinasi terbaik untuk mencuba makanan tempatan oleh booking.com pada 2018 dan Ipoh diundi sebagai antara sembilan tempat terbaik untuk dilawati di Asia oleh Majalah Lonely Planet 2016.

“Terbaru, Bandaraya Ipoh telah dipilih sebagai ‘Antara 18 lokasi underrated oleh CNN travel list’. Ia bermaksud Ipoh diakui sebagai antara lokasi percutian hebat tetapi kurang mendapat pengiktirafan sewajarnya.

“Sebagai anak Perak perlu ada kebanggaan untuk sama-sama berganding bahu memberitahu kepada dunia bahawa bumi bertuah Perak Darul Ridzuan ini mempunyai kehebatan dan keistimewaan tersendiri,” katanya.

Saarani mengharapkan agar anugerah-anugerah yang diterima itu tidak hanya dirai sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat kepada semua untuk terus menjulang nama Perak di mata dunia.

Menurutnya, meskipun pandemik Covid-19 meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada sektor pelancongan, namun dengan komitmen jitu semua pihak, kita mampu bangkit semula.

“Saya yakin, Loh Sze Yee sebagai Exco baru yang bertanggungjawab dalam pembangunan pelancongan negeri akan dapat bersama-sama Tourism Perak dan penggiat industri untuk membuahkan idea-idea baru dan segar bagi mengukuhkan lagi pelancongan negeri kita.

“Malah saya difahamkan, usaha giat sedang dilakukan bagi mempromosikan kawasan-kawasan pelancongan untuk kalendar 2023 sebagai antara persiapan Perak menganjurkan kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya. – UTUSAN

The post Tahun Melawat Ipoh 2023 dilancar appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*