Tak Pernah Tukar, Kedai Ini Jual Sup Lembu Yang Direneh Sejak Lebih 45 Tahun Lalu

sup lembu 45 tahun

Tak Pernah Tukar, Kedai Ini Jual Sup Lembu Yang Direneh Sejak Lebih 45 Tahun Lalu

Sebuah restoran di Bangkok ternyata mempunyai resepi tersendiri dalam memikat para pelanggan untuk terus berkunjung ke kedai mereka.

Sup lembu yang dijual di restoran Wattana Panich ini dilaporkan direneh sejak lebih 45 tahun lalu dan tidak pernah ditukar hingga ke hari ini.

Restoran berkenaan yang kini diuruskan oleh Nattapong Kaweeantawong iaitu generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan pernigaan berkenaan.

Dalam satu temu bual, Nattapong tidak melepaskan peluang menjelaskan salah tanggap orang ramai terhadap restoran mereka.

“Ramai yang beranggapan bahawa kami tidak pernah mencuci periuk ini. Sebenarnya, periuk ini kami cuci setiap petang. Baki sup daging dikeluarkan dan direneh secara sederhana pada sebelah malam,” katanya.

Reneh sup daging lembu selama lebih 45 tahun

Keesokannya sup berkenaan ditambah bahan baru dan proses berkenaan berlaku berulang-kali setiap hari sejak lebih 45 tahun. Jadi, setiap hari pelanggan menikmati sup yang secara teknikalnya direneh sejak empat dekad lalu.

Menyentuh tentang resepinya pula, Nattapong berkata mereka tiada resepi khas atau resepi rahsia yang digunakan secara turun-temurun.

Jadi, tukang masak perlu merasai sup tersebut terlebih dahulu setiap hari dan menambah apa-apa bahan yang dirasakan kurang.

Namun begitu, antara bahan masakan yang digunakan termasuklah hampir sedozen jenis herba Cina, bawang putih, kayu manis, lada hitam, akar ketumbar dan daging lembu. Kedai berkenaan menggunakan kira-kira 68 kilogram daging setiap hari.

”Untuk menjadikan daging lembu lembut dan sedap, kami masak bersama sup selama tujuh jam. Daging diletakkan semuanya supaya semua perisa dapat diserap.

”Kemudian daging dikeluarkan dan dihiris halus-halus sebelum dimasak bersama sekali lagi selama empat jam,” katanya.

Terletak di tepi kaki lima yang sibuk, kawah hitam yang digunakan untuk mereneh sup daging itu merupakan tarikan utama pelanggan ke Wattana Panich. Kawah berkenaan memiliki diameter kira-kira lima kaki dan kedalaman kira-kira 2 1/2 kaki.

Setiap hari, periuk berkenaan sentiasa dipenuhi dengan daging lembu dan supnya sentiasa menggelegak.

Menurut Nattapong, lot kedai itu dibeli oleh keluarganya lebih sedekad yang lalu dan ia merupakan satu perkara yang baik kerana sekarang jika perlu menyewa, mereka mungkin tidak mampu menyewanya.

”Ketika saya mula menyertai perniagaan keluarga ini, ayah sayalah yang menjadi tukang masa dan saya disuruh merasai sup ini. Tujuannya supaya saya tahu bagaimana rasa sup yang sempurna.

”Kini, dengan hanya melihat sup itu saya dah tahu bahan apa yang kurang,” kata Nattapong lagi.

Tambahnya, perniagaan itu sebenarnya sudah berusia lebih 60 tahun dan dimulakan oleh datuknya. Dahulu, kedai mereka terletak di suatu kawasan di tepi sungai Chao Phraya.

Hari ini, kedai berkenaan sentiasa dikunjungi oleh pelanggan yang rata-ratanya adalah pelanggan tetap sejak berzaman.

BACA: Dah Macam Layang-layang, Viral Sofa Rumah Terbang Dibawa Angin Ribut Kuat Sangat

Sumber: NPR

The post Tak Pernah Tukar, Kedai Ini Jual Sup Lembu Yang Direneh Sejak Lebih 45 Tahun Lalu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*