takutlah sumpahan orang ramai – Pekan

KUALA LUMPUR: Setiap pengadil yang bertugas dalam kancah bola sepak tempatan perlu menepati gelaran yang dipegang mereka iaitu ‘adil’ dan tidak menggunakan budi bicara dan toleransi mengatasi undang-undang yang diperuntukkan dalam bola sepak.

Demikian komen pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika diminta mengulas mengenai beberapa insiden panas yang menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong ketika aksi Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.

Tegas Pekan, insiden demi insiden yang berlaku itu sedikit sebanyak terus mencetuskan persepsi yang tidak sihat ketika semua pihak seharusnya bekerja keras untuk meningkatkan mutu pengadilan apatah lagi dengan penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Di peringkat pengadil, saya harap pengadil kita tunjukkan kredibiliti sebenar, nanti Tuhan akan tuntut. Pengadil itu sendiri pun diambil daripada perkataan adil, jadi mereka perlu adil kepada kedua-dua belah pihak.

“Kita lantik pengadil supaya mereka melindungi setiap pemain. Kalau peraturan kata begitu, begitulah dan kalau peraturan kata begini, beginilah. Jangan guna budi bicara dan toleransi sendiri mengatasi peraturan dan undang-undang.

“Kita tidak mahu nanti orang timbulkan persepsi apabila bermain di SSI, pengadil jadi macam itu. Saya tidak mahu menyalahkan pengadil tetapi mereka perlu bangkit, jangan takut pada individu, takutlah pada sumpahan orang ramai.

“Kita kena fikir untuk meningkatkan mutu pengadilan di tahap tertinggi supaya semua orang berpuas hati. Kalau sedikit kesilapan, kita boleh terima tetapi perkara sama berlaku sepanjang masa, apa nak jadi?,” kata Pekan.

Terdahulu, tiada layangan kad merah diberikan kepada pemain JDT, Arif Aiman Hanapi selepas dilihat menumbuk pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong khususnya di laman media sosial.

Majoriti penyokong bola sepak berpendapat pemain sayap kebangsaan itu seharusnya menerima kad merah kerana menumbuk pemain lawan sememangnya adalah kesalahan kad merah atas tindakan ganas berdasarkan peruntukan dalam Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB),

Bukan sahaja insiden membabitkan Arif Aiman malah penyokong turut mempersoalkan dua lagi insiden yang tercetus pada pertembungan di SSI di mana Perak FC turun selaku pasukan tuan rumah.

Perak FC tidak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-37 meskipun pertahanan JDT, Feroz Baharudin mengasari Clayton Silveira ketika perebutan bola dan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan tiada sepakan penalti.

Namun berbeza buat JDT apabila kekasaran dilakukan pertahanan Perak FC ke atas Bergson di hujung babak pertama menyaksikan mereka dihadiahkan sepakan penalti oleh VAR dan ia mudah disempurnakan Bergson untuk kedudukan 4-0 buat Harimau Selatan.

Mengulas lanjut mengenai insiden Arif, Pekan mengharapkan bintang itu dapat mengawal perasaan dan tidak mudah ‘koyak’ meskipun Pekan sedar pemain itu sering kali berdepan terjahan dan provokasi daripada pemain lawan.

“Tak kiralah kita bintang ataupun bukan bintang, semua pemain perlu bijak mengawal emosi dan kita tahu setiap pemain apatah lagi di bahagian serangan sentiasa berdepan terjahan keras daripada lawan.

“Jadi Arif perlu menguatkan mental, kena sentiasa ‘humble’ kerana dia sememangnya seorang pemain yang hebat dan beraksi di kelab yang ada reputasi tersendiri.

sumber: BH

“Dia perlu lebih bijak menangani situasi terbabit dan membalas dengan fizikal bukanlah satu tindakan yang bijak. Dia perlu mengawal perasaan kerana sebagai pemain yang berpengaruh, dia sentiasa menjadi perhatian banyak mata,” katanya.