TalentCorp & Iskandar Investment Berhad Bekerjasama Mengukuhkan Tenaga Kerja Johor Melalui Inisiatif Berfokuskan Bakat

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) bagi mengembangkan usahasama dalam mengukuhkan tenaga kerja Johor melalui inisiatif pembangunan strategik modal insan.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity Iskandar Puteri itu turut disaksikan oleh YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.

Dalam ucaptama yang disampaikan oleh YB Tuan Mohd Hairi bagi pihak YAB Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi, Menteri Besar Johor, beliau berkata kerjasama antara TalentCorp dan IIB merupakan satu langkah penting ke arah mencapai visi Johor untuk menjadi destinasi untuk pelaburan, inovasi dan bakat bertaraf dunia.

“Melalui kerjasama ini, kita dapat mengekalkan momentum ekonomi Johor untuk memberi manfaat kepada rakyat kita khususnya Bangsa Johor,” katanya.

MoU antara TalentCorp dan IIB menggariskan rangka kerja kerjasama yang merangkumi inisiatif untuk mengenal pasti bakat, pembangunan bakat dan perancangan kerjaya. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan tahap penglibatan antara industri dan ahli akademik dalam membangunkan dan mengekalkan kumpulan bakat negeri.

Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp berkata bahawa peranan TalentCorp dalam menarik, memupuk dan mengekalkan bakat dalam permintaan oleh industri mengurangkan cabaran dalam ekosistem bakat Malaysia, seperti bakat sedia industri dan ketidakpadanan pekerjaan.

“Penempatan pegawai TalentCorp secara tetap di Wilayah Selatan adalah komitmen kami ke arah mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkepentingan ke arah memacu pembangunan modal insan Malaysia,” katanya.

Dalam acara sama, TalentCorp melancarkan Senarai Pekerjaan Kritikal khusus Johor (MyCOL) untuk mengenal pasti dan menyediakan maklumat mengenai pekerjaan kritikal yang mempunyai permintaan di negeri itu. Data tersebut akan digunakan untuk mempertingkatkan program latihan dan laluan kerjaya yang memberi tumpuan kepada keperluan tenaga kerja di Johor.

Dato’ Idzham Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB berkata bahawa kerjasama dengan TalentCorp akan mewujudkan peluang baharu kepada bakat Malaysia untuk mendapat akses kepada syarikat teknologi dan digital baru yang muncul di Iskandar Puteri, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Ia juga akan menyokong usaha kami dalam membina ekosistem yang kukuh dan mampan di Iskandar Puteri, meningkatkan daya tarikannya terhadap FDI, DDI melalui bakat yang sedia ada dengan kemahiran dan kecekapan yang relevan pada kos yang kompetitif,” katanya.

The post TalentCorp & Iskandar Investment Berhad Bekerjasama Mengukuhkan Tenaga Kerja Johor Melalui Inisiatif Berfokuskan Bakat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*