KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) tiada pilihan kecuali wajib menang berdepan kelab Myanmar, Shan United FC dalam Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Thuwunna Rabu ini.
Jika skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu tewas ataupun seri, impian untuk mengintai peluang ke peringkat separuh akhir bagi merebut Piala Shopee itu dilihat kian berliku.
Pemain tengah, Muhammad Akram Mahinan berkata, kedudukan di tangga kedua tercorot dalam Kumpulan A masih boleh diperbaiki sekiranya tiga mata dapat diraih pasukannya pada aksi ketiga itu nanti.
Bagaimanapun bekas ‘arkitek’ skuad kebangsaan itu berkata ia tidak semudah perancangan di atas kertas kerana pasukannya bertandang ke kubu pasukan lawan.
“Selepas dua perlawanan tanpa kemenangan, sudah semestinya kami idam tiga mata menentang kelab Myanmar itu untuk kami melangkah lebih jauh lagi dalam saingan ini.
“Namun kami sedar ia bukan tugas mudah, selain beraksi di tempat lawan, sudah pasti lawan yang kini menghuni di tangga tercorot kumpulan bermain bermati-matian untuk bangkit mengutip mata pertama mereka.
“Namun kami tetap positif untuk memburu tiga mata, ini kerana kami perlu menang untuk mengintai peluang ke peringkat separuh akhir. Kami perlu buktikan biarpun tanpa penyerang import,” kata Akram.
Berdasarkan kedudukan terkini, TFC baru mengutip satu mata selepas dua perlawanan sesudah terikat 2-2 menentang kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC pada 25 September tahun lalu manakala aksi pertama tewas 1-0 di tangan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC.
sumber: BH
Peluang buat skuad Penyu untuk melangkah ke peringkat separuh akhir masih lagi terbuka luas kerana hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu kumpulan, PSM Makassar.