Terima Kad Kuning, Aksi Ronaldo Kasari Pemain Al-Hilal Curi Tumpuan

ronaldo kasari pemain al-hilal

Terima Kad Kuning, Aksi Ronaldo Kasari Pemain Al-Hilal Curi Tumpuan

RIYADH —  Dalam pertembungan antara dua kelab bola sepak Arab Saudi, Al Hilal Football Club (FC) dan Al Nassr FC, Cristiano Ronaldo telah didakwa mengasari pemain tuan rumah semalam, lapor Goal.com.

Difahamkan, bintang Portugal itu telah dilayangkan kad kuning susulan aksinya dalam perlawanan yang berlangsung di King Fahd International Stadium.

Ronaldo “WWE” Pemain Al Hilal

Pada minit ke-56, pengadil perlawanan, Michael Oliver tiada pilihan lain selain melayangkan kad kuning kepada Ronaldo selepas bertindak merangkul kepala pemain Al-Hilal FC, Gustavo Cuellar sehingga jatuh ke belakang.

Menerusi klip video berdurasi 46 saat yang dimuat naik oleh @ssc_sports di Twitter menunjukkan insiden berkenaan.

Susulan itu, Gustavo terbaring di atas padang dengan reaksi kesakitan pada wajahnya selepas penyerang berusia 38 tahun itu telah memeluk pada bahagian leher.

Rata-rata pemain tuan rumah berasa tidak puas hati dengan tindakan bekas pemain Manchester United itu.

Tuan Rumah Benam Pelawat Dengan Skor 2-0

Dalam perlawanan tersebut, Al Hilal berjaya menjinakkan Al Nassr dengan dua gol tanpa balas di laman sendiri.

Walaupun pelawat turun sebagai pencabar kejuaraan liga, Al Hilal seperti tidak goyah dengan menampilkan aksi cemerlang di laman sendiri.

Pasukan itu berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan sepakan penalti oleh Odion Igholo pada minit ke-42.

BACA JUGA: Tujuh Pemain Terbaik Pernah Sarung Jersi Nombor Ikonik 7

Meskipun Al Nassr cuba mencari gol penyamaan, Igholo sekali lagi meranapkan impian pelawat dengan menyumbat gol kedua perlawanan pada minit ke-62 juga menerusi sepakan penalti.

Perlawanan turut dicemari dengan tujuh kad kuning yang dikeluarkan dari poket pengadil termasuk insiden berkenaan.

Kedudukan Liga

Untuk makluman, selepas berjaya mengutip tiga mata di gelanggang sendiri. Al Hilal kini berada di tangga ke-4 liga dengan mengumpul 49 mata selepas 25 perlawanan.

Manakala Al Nassr kekal di tangga ke-2 liga dengan mata terkumpul sebanyak 53 selepas 24 perlawanan.

Al Nassr kini ketinggalan tiga mata di belakang pencabarnya Al ittihad yang kini mengumpul 56 mata selepas 23 perlawanan.

Sumber: Goal.com 

The post Terima Kad Kuning, Aksi Ronaldo Kasari Pemain Al-Hilal Curi Tumpuan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*