Terima Kasih Ismail Sabri Atas Khidmat Sebagai Naib Presiden – Ahmad

ismail sabri naib presiden

Terima Kasih Ismail Sabri Atas Khidmat Sebagai Naib Presiden – Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas jasanya sebagai Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian, susulan keputusan Ismail Sabri untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden pada Pemilihan UMNO yang dijadualkan Mac ini.

“Saya kira beliau sudah membuat satu keputusan yang besar buat dirinya… mungkin beliau tidak mahu lagi bertanding, sebab sudah sampai ke puncak dalam perjuangan politiknya dengan menjadi Perdana Menteri, tiada yang lagi atas daripada itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri kesembilan mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya sejak 2018.

BACA JUGA: Saya Tak Setuju Keputusan UMNO Pecat Dan Gantung Ahli, Ada Proses Tak Dilaksanakan – Ismail Sabri

Ismail Sabri merupakan antara tiga penyandang jawatan itu selain bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu akan diadakan pada 11 Mac manakala bagi Jawatankuasa UMNO Bahagian, Jawatan Naib Presiden serta Ahli Majlis Tertinggi pula pada 18 Mac.

Sementara itu, Ahmad mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden UMNO bagi memberi peluang lebih besar dan memastikan calon dari Johor memenangi jawatan tersebut.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana tidak mahu memecahkan undi perwakilan UMNO dalam memilih Naib Presiden, memandangkan sudah terdapat tiga calon dari negeri itu yang akan bertanding.

“Saya tidak bertanding Naib Presiden walaupun ada cadangan sebelum ini. Johor paling kurang seorang (calon) kena menang… Saya tidak perlu menambah (untuk bertanding jawatan Naib Presiden) dari Johor, nanti seorang pun tidak menang,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian bagaimanapun berkata akan bertanding mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT), serta akan berdepan Bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian yang disandangnya.

Sumber: BERNAMA

The post Terima Kasih Ismail Sabri Atas Khidmat Sebagai Naib Presiden – Ahmad appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*