Teruja sambut tahun baharu di Hatyai

MENYAMBUT tahun baharu di luar negara merupakan satu pengalaman terindah buat mereka yang tidak pernah merasainya.

Tidak perlu terbang terlalu jauh untuk merasai sendiri pengalaman tersebut kerana ‘port’ lepak paling dekat dan berbaloi buat rakyat Malaysia tentunya di Hatyai, Thailand.

Hatyai terletak lebih kurang satu jam perjalanan atau kira-kira 58 kilometer dari pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Untuk makluman, ini merupakan kali pertama saya berpeluang menyambut tahun baharu di tempat orang.

Percutian singkat tiga hari dua malam itu hanya dirancang seminggu sebelum tahun baharu menjelang.

Saya bersama seorang rakan baik yang dikenali sebagai Wawa mengambil keputusan untuk menaiki bas dari Lembah Klang menuju ke Hatyai.

Perjalanan yang memakan masa selama sembilan jam itu diguna sebaiknya oleh kami untuk merehatkan badan selepas sibuk dengan kerja hakiki.

Setibanya di bandar Hatyai sekitar pukul 5 petang (waktu Thailand), kami memilih menaiki tuk-tuk untuk ke hotel iaitu tempat kami menginap sepanjang berada di sana.

Keterujaan menyambut tahun baharu dan menyaksikan warna-warni percikan bunga api di negara orang buat pertama kali semakin kami rasai.

Selepas membersihkan diri dan solat, kami memulakan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Khlong Hae Floating Market (KHFM).

Buat mereka yang tidak tahu atau belum pernah menjejakkan kaki di sini, KHFM ibarat ‘syurga’ makanan bagi pelancong dari Malaysia.

UDANG galah bakar merupakan salah satu menu wajib cuba apabila berkunjung ke Khlong Hae Floating Market.

Mana tidaknya, pelbagai makanan halal boleh didapati di sana dengan harga murah dan rasanya sangat lazat serta menepati cita rasa ramai.

Puluhan peniaga berniaga menggunakan sampan sambil menggunakan dialek Kelantan-Thailand bagi menarik pelanggan dari Malaysia.

Kami sempat membeli beberapa jenis makanan seperti ayam goreng, char kuetiau, aiskrim kelapa dan air kelapa yang diletakkan di dalam buluh.

Suasana pada malam itu sangat meriah dengan kehadiran ratusan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu merasai sendiri pengalaman di KHFM.

Sambil menjamu selera, halwa telinga kami dihidangkan dengan persembahan nyanyian daripada masyarakat tempatan yang membawakan lagu-lagu tradisional dan moden menjelang ambang tahun baharu.

Hampir dua jam menghabiskan masa di sana, kami sempat berkenalan dengan beberapa rakan senegara yang mempunyai tujuan sama.

Pengalaman berkenalan dengan rakan-rakan baharu membuatkan perjalanan kami lebih seronok, selain dapat menjimatkan kos pengangkutan kerana boleh dikongsi bersama.

Tepat pukul 9 malam, kami berdua dan tiga lagi kenalan yang juga dari Kuala Lumpur bersama-sama menaiki tuk-tuk menuju ke Lee Garden bagi menyambut tahun baharu.

Setibanya di sana, alangkah terkejutnya kami kerana bukan ratusan, malah ribuan orang sudah mula berkumpul sambil menyaksikan persembahan artis tempatan di atas pentas.

Pelbagai lagu termasuk genre muzik tahun baharu dalam bahasa tempatan (Thailand) didendangkan. Kami juga tidak melepaskan peluang menari mengikut rentak lagu yang dipersembahkan.

Masa berjalan cukup pantas, jam di tangan hampir pukul 12 tengah malam dan keterujaan menyambut serta merasai sendiri pengalaman tahun baharu di negara orang semakin terasa.

Sambil mengikut arahan pengacara pentas, kami sama-sama mengira detik countdown tahun baharu. Pastinya, rata-rata menggunakan bahasa Thailand dan tidak kurang juga bahasa Inggeris dan Melayu untuk mengira detik 12 tengah malam.

Tepat pukul 12 tengah malam, kegelapan langit menjadi terang dengan percikan warna-warni bunga api sebagai tanda masuknya tahun 2023.

Suasana menjadi riuh-rendah dengan sorakan dan jeritan ribuan manusia yang rata-ratanya merakam video percikan bunga api.

Kalau ikutkan, di mana-mana negara pun sama sahaja sambutan tahun baharu. Namun, perkara membezakannya adalah pengalaman di tempat orang yang begitu berharga untuk dijadikan kenangan terindah.

The post Teruja sambut tahun baharu di Hatyai appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*