Thailand Cadang Beri Suntikan Penggalak Percuma Untuk Pelancong Asing

thailand cadang beri suntikan penggalak percuma

BANGKOK, 29 Dis (Bernama) – Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand bercadang untuk memberi suntikan penggalak vaksin COVID-19 secara percuma kepada pelawat asing dalam usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara itu.

Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata pemberian suntikan penggalak secara percuma untuk pelancong adalah pelaburan yang berbaloi.

“Saya rasa ia berbaloi. Ia akan menjadi promosi untuk menarik lebih ramai pelancong asing melawat Thailand.

“Setiap suntikan vaksin hanya berharga beberapa ratus baht manakala seorang pelancong asing dijangka membelanjakan sekitar 40,000 baht bagi setiap perjalanan ke Thailand, termasuk tujuh peratus Cukai Tambah Nilai (VAT) bernilai 2,800 baht,” katanya dipetik The Nation Thailand.

Phiphat berkata cadangan itu akan dibincangkan semasa sesi mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Awam dan Kementerian Pengangkutan pada 5 Januari.

Mesyuarat itu juga akan membincangkan persiapan untuk menerima pelancong dari China.

Kementerian juga akan menawarkan vaksin COVID-19 percuma kepada pekerja industri pelancongan menjelang kemasukan pelancong China, katanya.

China merupakan pasaran pelancongan keluar terbesar di dunia sebelum sekatan perjalanan antarabangsa akibat pandemik, namun Beijing mengumumkan kelonggaran kuarantin untuk rakyatnya bermula 8 Januari.

Pelbagai negara termasuk Thailand sedang bersiap sedia menyambut ketibaan pelancong China.

Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Yuthasak Supasorn mengunjurkan kira-kira 300,000 pelancong China akan melawat Thailand dalam tempoh tiga bulan pertama tahun depan.

Menteri Kewangan Arkhom Termpittayapaisith berkata jumlah ketibaan pelancong akan bertambah jika pelancong China kembali ke Thailand.

Thailand, satu daripada destinasi pelancongan paling popular di Asia kini bersedia menerima kunjungan sekurang-kurangnya 20 juta pelancong dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 2.38 trilion baht (US$64.5 bilion).

Sumber: BERNAMA

The post Thailand Cadang Beri Suntikan Penggalak Percuma Untuk Pelancong Asing appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*