‘TIADA komen’, itu tulis ringkas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman media sosial X selepas Harimau Selatan berjaya memenangi Piala FA menewaskan Selangor pada Sabtu.
Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor memuat naik status tersebut dengan emoji medal berserta lambang hati berwarna biru dan merah.
Baginda turut mengulang hantaran laman X Johor Southern Tigers dengan kenyataan trofi ke-28 sejak 2013 merujuk kejayaan merangkul Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Sebelum ini, JDT mengundang seribu persoalan dalam kalangan wartawan ketika apabila pembantu jurulatih Jose Lopez dan pemain pertahanan Junior Estdal hanya menjawab ‘tiada komen’ dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Jumaat.
sumber: SH
Dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA tiga kali berturut-turut selepas membelasah Selangor FC 6-1.
Gol JDT dijaringkan oleh Juan Muniz pada minit ke-26, 27 dan 89, Arif Aiman Hanapi (m-42) dan Bergson Da Silva (62) dan Heberty Fernandes (76) manakala gol saguhati Gergasi Merah dijaringkan oleh Alvin Fortes (59).