Tiada perancangan bina hospital kerajaan baru – Menteri

SEGAMAT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memfokuskan kepada penambahbaikkan hospital dan fasiliti di semua pusat kesihatan KKM di seluruh Malaysia.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustaffa berkata, setakat ini tiada perancangan untuk membina hospital kerajaan yang baru sebaliknya akan lebih memberi keutamaan kepada pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur sedia ada.

“Setakat ini untuk pembangunan apa yang kita fikirkan ialah kita akan teruskan yang masih dalam pembinaan. Jadi, buat masa ini kita belum memikirkan pembinaan hospital baru.

“Sebenarnya kita sudah terima separuh daripada yang diperuntukkan tapi sesi pembentangan parlimen yang seterusnya nanti akan ada pembentangan bajet yang baru.

“Jadi kita akan lihat nanti berapa jumlah yang kita akan dapat lebih kurang atau sama dari apa yang diputuskan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan buah limau kepada orang awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Plaza U Sentral, Segamat di sini hari ini.

Penjelasan beliau turut menjawab persoalan mengenai perkembangan bajet RM36.1 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian tersebut dalam pembentangan bajet 2023.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Sekijang itu turut menjelaskan pihak KKM tidak menjangkakan sebarang kenaikan kes Covid-19 pada Tahun Baharu Cina ini.

“Bagaimanapun, pihak KKM akan terus memantau secara rapat perkembangan kes Covid-19 seluruh negara setiap hari.

“Kita akan memantau secara rapat apa sahaja berkait dengan Covid-19. Kita ada pengalamaan dengan perayaan sebelum ini dan terakhir Pilihan Raya Umum (PRU-15), walaupun kita jangka ada peningkatan tetapi tiada.

“Kes Covid-19 kini terkawal. Jumlah terakhir kes menurun kepada tiga angka iatu kekal 500,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

The post Tiada perancangan bina hospital kerajaan baru – Menteri appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*