Tian Chua disarankan buat permohonan kepada Lembaga Rayuan PKR

SHAH ALAM – Bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, disarankan membuat permohonan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti berhubung isu pemecatannya.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan tersebut dilihat bertepatan dan berlaku adil kepada semua ahli parti dalam melalui proses yang betul.

Katanya, sebarang keputusan akhir akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Saya cadangkan kepada Tian Chua, kalau pun dia hendak merayu belas ihsan daripada presiden parti, lebih baik dia melalui Lembaga Rayuan dulu untuk diteliti sebelum dibentangkan kembali kepada MPP untuk buat keputusan akhir.

“Tetapi, kalau dia tak merayu, kemudian dia merayu terus kepada presiden, nanti dia (presiden) menjadi serba salah dan sukar kepada lain yang kena pecat juga. Jadi, kita bagi isyarat tak baik kepada anggota lain, ada ‘double standard’,” katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tian Chua yang berharap Anwar itu memaafkannya kerana melanggar peraturan dan menerimanya semula sebagai ahli.

Keahliannya ditamatkan minggu lalu susulan tindakan bertanding sebagai calon bebas menentang calon PKR, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Dalam perkembangan berlainan, Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi memberitahu adalah wajar sekiranya bantahan dilakukan terus semasa kempen pilihan raya khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya berlaku sebagai ucapan berunsur perkauman.

“Kita akan latih jentera kita dan beri arahan secara jelas, jadi sahaja terus buat laporan kepada SPR. Itu lebih berkesan berbanding kita fail petisyen selepas pilihan raya. Itu bukan sesuatu yang kita akan biarkan.

“Penting untuk gunakan segala ruang yang ada dalam peraturan pilihan raya sekarang untuk mengelakkan berlaku kembali polemik perkauman yang keterlaluan seperti yang berlaku dalam PRU lepas,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

The post Tian Chua disarankan buat permohonan kepada Lembaga Rayuan PKR appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*