KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan pasukan yang kurang berkemampuan tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan ‘selera’ pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.
Sebaliknya, Jamal menjelaskan, kelab perlu melihat kemampuan kantung kewangan mereka terlebih dahulu sebelum berbelanja terutama dalam mendapatkan pemain ternama.
Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) itu berkata, langkah lebih baik buat pasukan ‘kerdil’ adalah dengan menaikkan pemain muda berpotensi dari skuad bawah 19 (B-19) tahun, B-20 atau B-23 yang dilihat lebih menjimatkan kos.
Katanya, pengurusan pasukan juga harus bijak dengan hanya mengambil beberapa pemain import yang berkualiti tinggi tanpa memikirkan kuota maksimum yang dibenarkan.
“Masalahnya kebanyakan pegawai dalam kelab tiada pemikiran bola sepak, mereka hanya fokus nak menang. Apabila terlampau nak menang, itu yang terpaksa berhutang. Kita tak boleh ikut orang, biarlah Selangor, JDT atau Terengganu yang mana pasukan kuat dan besar-besar ini.
“Tiada guna ikut orang tapi kita berdepan masalah gaji dan sebagainya. Ikut kemampuan kita, jangan harap ada duit yang akan masuk, tiba-tiba duit tak masuk itu yang jadi masalah. Jadi tengok duit yang benar-benar ada dalam kantung, kalau kata ada (duit) lain datang kemudian, itu bonus.
“Jika tiada (duit), naikkan pemain B-19, B-20 dan B-23 untuk mereka main Liga Super. Tiada pengalaman tak apa, paling kurang dedahkan mereka untuk tahun pertama dan kedua kerana bola sepak ini satu proses pembelajaran yang panjang.
“Bukan kata main sehari dua sudah pandai, tapi kalau tak bagi pendedahan, bagaimana mereka nak pandai. Saya dulu pun ambil masa bertahun-tahun, tapi jurulatih bagi peluang dan saya dapat bermain untuk pasukan kebangsaan dalam usia muda,” katanya kepada BH Sukan.
Jamal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jendela perpindahan kedua Liga M yang dijangka suram kerana banyak pasukan berdepan masalah kewangan.
Selain itu, Jamal menyifatkan penggunaan pemain muda oleh pasukan Liga Super turut mampu membantu perkembangan positif skuad kebangsaan dan menaikkan prestasi Harimau Malaya pada akan datang.
“Jurulatih kena berani, tapi mereka takut sebab pengurusan tak fikir benda itu. Apabila jurulatih letak budak muda dan kalah, jurulatih kena kena buang. Mereka nak cari makan, jadi lebih baik ikut pengurusan daripada periuk nasi tak berasap.
sumber: BH
“Pemain muda kita ramai yang nak main bola, tapi jurulatih harus pandai menilai yang mana ada potensi besar. Namun, ada jurulatih kita yang tak boleh nak baca pemain ini, itu pun satu masalah juga,” katanya.