Tiket Bas Ekspres Ke Semua Destinasi Laris Sempena Cuti Tahun Baharu Cina

Tiket Bas Ekspres ke semua destinasi laris sempena cuti Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) — Jualan tiket bas ekspres dari bandar raya ini ke semua destinasi di Semenanjung didapati laris sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Bernama di Terminal 17 di Seksyen 17 di sini mendapati sebagaimana kelaziman, tiket bas ekspres ke negeri di Pantai Timur terlebih dahulu habis terjual berbanding negeri lain.

Suasana di stesen bas itu juga dilihat meriah dengan orang ramai mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak malam tadi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata setakat semalam sebanyak 12,492 keping tiket terjual dengan kebanyakan dibeli secara dalam talian dan majoriti penumpang dilihat tidak menunggu saat akhir untuk membeli tiket.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

“Mereka membeli tiket sejak minggu pertama jualan dibuka pada 20 Dis lepas. Saya menjangkakan jualan akan terus meningkat pada beberapa hari berbaki ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Seorang pekerja swasta, Eng Sui Ling, 26, berkata beliau membeli tiket untuk pulang ke Kedah bagi meraikan Tahun Baharu Cina sejak hujung tahun lepas.

“Saya terus membeli tiket apabila mendapat maklumat jualan mula dibuka sejak 20 Dis. Saya memilih menggunakan pengangkutan awam sebab mahu berjimat, jika memandu balik sendiri akan melibatkan kos yang tinggi.

“Semua orang tahu, setiap kali musim perayaan pasti jalan akan sesak. Saya tidak sanggup menempuh dan memilih untuk menggunakan pengangkutan awam adalah keputusan terbaik,” katanya.

Turut mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu yang panjang ialah pelajar di sebuah universiti awam, Nur Diyana Atiqah Kamarosaman, 22, yang membeli tiket sejak minggu lepas untuk pulang ke Larkin, Johor.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya memang akan membeli tiket awal sebab khuatir kehabisan. Kebiasaannya, musim cuti Tahun Baharu Cina, tiket akan cepat habis, ada rakan dari Pantai Timur tidak dapat pulang ke kampungnya sebab tiket habis,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Tiket Bas Ekspres Ke Semua Destinasi Laris Sempena Cuti Tahun Baharu Cina appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*