Toman rekod dunia, penutup tirai 2022

MALAYSIA sememangnya terkenal sebagai rumah kepada pelbagai spesies ikan bersaiz monster air tawar mahupun air masin.

Spesies-spesies seperti ikan toman (Channa micropeltes), toman bunga (Channa pleurophthalma), tapah (wallago attu), kenerak (Bagarius yarrelli), sebarau (Hampala barb), jemuduk (Caranx ignobilis), tenggiri batang (Scomberomorus guttatus) dan layaran (Istiophorus platypterus) antara ikan yang menjadi sasaran untuk sukan memancing di Malaysia sebagai ikan trofi.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pemancing dari tanah air kerap mengisi kedudukan senarai panjang rekod dunia International Game Fishing Associations (IGFA) untuk pelbagai jenis spesies ikan.

Kebanyakan spesies yang tersenarai dalam rekod IGFA dari Malaysia merupakan daripada kategori spesies berkepala ular atau snakehead.

Terdapat beberapa lagi kategori spesies yang dipegang oleh pemancing tempatan, namun untuk kali ini, tumpuan adalah kepada snakehead.

Antara pemancing tempatan yang telah berjaya menempatkan diri dalam senarai IGFA ialah Roob Ganesan, Mohd. Aliff Mohd. Ali, Faizal Zainal, Christopher Tan dan Thina Thayal (sekadar menyebut beberapa nama).
K2 berkesempatan menemu bual tiga pemancing yang boleh dianggap sebagai terbaik dalam senarai tersebut yang bertambah tahun demi tahun.

Mohd. Aliff atau lebih dikenali Rapala Oz dalam kalangan kaki pancing tempatan merupakan nama yang terbaharu berjaya menempatkan diri dalam senarai panjang tangkapan terbesar ikan toman dalam kelas conventional tackle.

Memasuki senarai terbaharu rekod IGFA, Mohd. Aliff begitu sinonim dengan teknik mengilat toman di sekitar Lembah Klang.

Terkenal sebagai fishing guide di Lake Haven Puchong, kebolehannya dalam mengenal pasti lubuk atau tompokan anak toman membuatkannya dipanggil saudara Jimoque Shah atau Shannizam Sahari dengan gelaran Mata Helang.

Saat tertangkapnya spesimen mega ini di sekitar Rawang, menurut Jimoque Shah yang turut berada bersama ketika hari bersejarah tersebut, mereka berdua turun dengan tujuan menguji ketahanan prototaip joran model baharu yang dihasilkan Jimoque di lapangan.

Rezeki sememangnya tidak pernah salah alamat. Tidak menyangka balingan terakhir berhampiran jeti menggunakan joran berkekuatan PE2 dan gewang jenis permukaan pok tam double blade buzzbait disambar, mulanya Aliff beranggapan ia hanya toman bujang yang bersaiz sederhana.

Setelah berjaya dinaikkan, ia ditimbang dan diukur sebanyak dua kali untuk memastikan kesahihan sebelum permohonan dihantar melalui wakil IGFA Malaysia, Milkfish Lady Club.

Pada 22 Disember lalu, secara rasminya, IGFA mengiktiraf Mohd. Aliff di dalam kategori tali kelas 50lb dengan berat ikan 13.15kg (29lb).

PAK ROB memasuki rekod IGFA ikan toman dengan spesimen seberat 10.89kg pada tahun 2016.

Sementara itu, Roob Ganesan @ Pak Rob yang berasal dari Klang, Selangor merupakan nama besar dalam sukan memancing tanah air. Usahawan barangan pancing, Youtuber terkenal dan juga hos program televisyen ini mesra disapa sebagai Pak Rob.

Petah berbahasa Melayu dan Thai, Pak Rob telah mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia termasuk ke Bolivia dan Papua untuk memburu spesies seperti Golden Dorado (Salminus brasiliensis), Payara (Hydrolycus scomberoides) dan Black Bass (Lutjanus goldiei).

Umpama pepatah lama, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, rekod IGFA akhirnya ditempa di tanah air sendiri.

Pada 2016, Pak Rob memecahkan rekod IGFA ikan toman dalam kategori tali kelas 30lb dengan spesimen seberat 10.89kg (24lb). Ikan tersebut ditangkap hasil buruan selama hampir setahun mengilat menggunakan gewang crankbait selaman dalam di Rawang.

TOTET atau Faizal Zainal menjinakkan toman seberat 13.61kg dalam kategori kelas All-tackle pada tahun 2018.

Selain itu, Faizal Zainal @ Totet iaitu pengusaha gerai makanan berasal dari Rawang berjaya menangkap toman seberat 13.61kg (30lb) pada 28 Februari 2018 membolehkan Totet disenaraikan untuk rekod IGFA dalam kategori kelas All-tackle.

Menggunakan gewang jenis crankbait selaman dalam, toman induk ini dijinakkan setelah bertarung selama hampir 10 minit. Turut menemani Totet ketika itu ialah salah seorang pemancing dan guide berpengalaman, Din Labatta.

Ironinya, ketiga-tiga toman yang tersenarai untuk rekod IGFA ini, menghuni lubuk yang sama di Rawang, Selangor, namun lokasi tersebut bakal ditutup buat umum untuk memberi laluan kepada projek solar.

Semoga ramai lagi pemancing tempatan berjaya memecah masuk senarai rekod dunia IGFA pada masa hadapan.

The post Toman rekod dunia, penutup tirai 2022 appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*