Tujuh tan sampah ‘hiasi’ Kuala Perlis

KANGAR: Sebanyak 7,315 kilogram atau lebih tujuh tan metrik sampah dikutip di sepanjang pesisiran pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang sejauh 13 kilometer sepanjang tahun lalu dengan kebanyakkan sampah itu melibatkan plastik botol serta bekas makanan.

Data tersebut adalah hasil aktiviti kutipan sampah para sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pahlawan Sampah (Trash Hero) Perlis sepanjang 2022 yang secara tidak langsung menunjukkan kesedaran segelintir masyarakat yang membuang sampah sesuka hati itu masih rendah.

Kutipan sampah itu melibatkan kawasan pesisir pantai seperti Pulau Ketam, Kampung Wai, Kampung Kurung Tengar, Kuala Sungai Baru, Padang Keria dan Masjid Terapung.

Koordinator Trash Hero Perlis, Rosnani Nazri berkata, paling banyak sampah yang dikutip adalah plastik, botol, bekas makanan dan peralatan nelayan.

Kata pensyarah kanan Teknologi Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis itu, sampah yang banyak mengundang kesan negatif seperti bau busuk di persekitaran kawasan pelancongan terlibat, penyakit selain mencemarkan keindahan Kuala Perlis.

“Kesedaran dilihat masih rendah dengan masih ada yang membuang sampah khususnya di bawah-bawah rumah yang akhirnya hanyut sehingga ke pesisir pantai ini.

“Kuala Perlis adalah antara lokasi pelancongan popular di negeri ini dan kebersihan perlu sentiasa dijaga,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program gotong-royong mengutip sampah di pesisir Pantai Kuala Sungai Baru di sini, semalam.

Dalam aktiviti tersebut, sebanyak 650 kilogram sampah dikutip hanya dalam tempoh dua jam di kawasan pesisiran pantai berkenaan.

Sebagai rekod, Pahlawan Sampah Perlis aktif menjalankan kerja-kerja sukarelawan mengutip sampah sejak 2019.

Sementara itu, Rosnani berkata, sepanjang lebih tiga tahun menjalankan aktiviti sukarelawan mengutip sampah, sebanyak 33.3 tan metrik atau lebih 33,000 kilogram sampah dikutip di kawasan pelancongan negeri ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, Kuala Perlis merekodkan jumlah tertinggi iaitu 22.8 tan metrik atau 22,800 kilogram sampah dikutip

“Selalunya apabila dibersihkan khususnya di Kuala Perlis, sampah timbul balik memandangkan masih ramai membuang sampah di kawasan itu termasuk di bawah-bawah rumah yang kemudian menyebabkan ia hanyut ke pesisiran pantai,” katanya. – UTUSAN

 

The post Tujuh tan sampah ‘hiasi’ Kuala Perlis appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*