Kota Kinabalu: Sabah FC mengumumkan penyerang import baharunya bagi memperkuat serangan pasukan sepanjang baki saingan Liga Super musim ini.
Pemain berusia 24 tahun berasal dari Brazil itu, Joao Pedro Boeira Duarte mengikut kontrak selama sembilan bulan berkuatkuasa 15 Ogos 2024 hingga 30 April 2025.
Duarte dibawa masuk bagi mengisi slot perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2024 / 2025 selepas menamatkan kontrak bersama Viettel FC (Vietnam) pada Julai lalu.
“Kehadiran dia diharap dapat membantu jentera serangan Sabah FC selepas Ramon Machado memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal bersama Sabah FC,” kata kenyataan kelab itu.
Duarte menandatangani kontrak bersama Sabah FC di hadapan Pengurus Besar pasukan, Mohd Joh Wid, hari ini.
Penyerang berketinggian 185 sentimeter itu sempat bermain dalam 12 perlawanan bersama Viettel FC dan menyumbang dua gol untuk pasukan berkenaan dalam saingan liga Vietnam.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan kelulusan pengurusan tertinggi badan sukan bola sepak Sabah itu untuk menambah seorang pemain import.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar laporan yang dikemukakan Sabah FC mengenai keperluan mengambil penyerang import.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini menyuarakan keperluan untuk Sabah FC mengambil seorang penyerang import baharu bagi memperkuat jentera serangan yang agak tumpul selepas ketiadaan Machado.
Kata Kim Swee, keperluan itu mengambil kira tempoh saingan Liga Super musim ini yang masih panjang dalam usaha mengekalkan kedudukan terbaik Sabah FC.