Uzbekistan Dakwa Kematian 18 Kanak-Kanak Ada Kaitan Dengan Ubat Batuk Buatan India

kematian 18 kanak-kanak berkaitan india

Uzbekistan mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak di negara itu telah meninggal dunia selepas dipercayai mengambil ubat batuk keluaran India, lapor NDTV.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Uzbekistan berkata kanak-kanak yang meninggal dunia telah mengambil sirap batuk Doc-1 Max yang dikeluarkan oleh Marion Biotech yang berpangkalan di Bandar Noida, India.

Difahamkan, India telah menjalankan siasatan ke atas perkara itu dan pembuatan sirap batuk telah dihentikan sehingga sampel diuji.

Menterinya, Mansukh Mandaviya berkata sampel itu telah dihantar ke Makmal Pengujian Dadah Serantau di Chandigarh untuk ujian dan pihak kerajaan juga telah mengambil tindakan lanjut berdasarkan laporan pemeriksaan.

Mandaviya memaklumkan Pusat itu mula berhubung dengan Uzbekistan sejak 27 Disember.

Selepas menjalankan ujian, didapati sirap tersebut mempunyai kandungan etilena glikol yang merupakan bahan toksik.

Beliau juga berkata sirap tersebut telah diberikan kepada kanak-kanak di rumah tanpa preskripsi doktor yang diberikan sama ada oleh ibu bapa atau nasihat ahli farmasi dengan dos yang melebihi dos standard untuk kanak-kanak.

Tambahnya, kesemua mangsa sebelum dimasukkan ke hospital telah mengambil sirap ini di rumah selama dua hingga tujuh hari dalam dos 2.5 hingga 5 milliliter, iaitu sebanyak tiga hingga empat kali sehari yang melebihi dos standard.

Dalam pada itu, ibu bapa turut menggunakan sirap tersebut sebagai ubat anti-selesema.

Selepas kematian 18 kanak-kanak, tablet dan sirap Doc-1 Max telah ditarik semula dari semua farmasi di negara tersebut dan tujuh pekerja juga dipecat kerana gagal menganalisis keadaan pada masa yang sesuai dan mengambil tindakan lanjut.

Siasatan bersama sedang dijalankan oleh pasukan Pertubuhan Kawalan Standard Dadah Pusat (CDSCO) dan Pihak Berkuasa Kawalan dan Pelesenan Dadah Uttar Pradesh.

Sementara itu, Marion Biotech berkata sampel sirap batuk telah dikumpulkan dari unit pembuatannya dan mereka kini sedang menunggu laporan ujian.

Ini merupakan kali kedua dalam setahun sirap batuk buatan India berada di bawah pengawasan.

Sebelum ini, pada awal tahun sebanyak 70 kematian melibatkan kanak-kanak di Gambia dikaitkan dengan sirap batuk yang dikeluarkan oleh Maiden Pharmaceuticals yang berpangkalan di Haryana.

Pertubuhan Kawalan Standard Dadah Pusat pada Oktober telah menutup unitnya di Sonipat kerana melanggar piawaian pembuatan.

Sumber: NDTV

The post Uzbekistan Dakwa Kematian 18 Kanak-Kanak Ada Kaitan Dengan Ubat Batuk Buatan India appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*