Wanita Didakwa Curi Kad Debit Ibu Saudara Untuk Beli iPhone Mengaku Tidak Bersalah

wanita curi kad debit beli iphone

Wanita Didakwa Curi Kad Debit Ibu Saudara Untuk Beli iPhone Mengaku Tidak Bersalah

Wanita yang didakwa menyebabkan kehilangan kad debit ibu saudara tirinya serta menggunakan wang sebanyak RM8,200 untuk membeli telefon pintar jenama iPhone 14 Pro seperti yang tular di media sosial pada sebelum ini hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Hari Ini bagi mendengar tuduhan dibacakan.

Wanita berusia 21 tahun itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan yang dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

Menerusi bacaan pertuduhan utama, wanita yang menganggur itu telah didakwa mencuri kad debit milik ibu saudaranya yang berusia 26 tahun.

Suspek kemudiannya mengeluarkan wang berkenaan tanpa pengetahuan mangsa di sebuah pangsapuri di Chow Kit pada 23 dan 24 Mac lalu.

Pertuduhan ke atas wanita itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan jika disabit bersalah suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM150,000.

Selain itu, suspek juga boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika terbukti bersalah.

Bagi pertuduhan pilihan, suspek didakwa telah menyalahgunakan wang milik mangsa yang dikeluarkan dari akaun bank tanpa pengetahuan mangsa. Perbuatan tersebut dilakukan di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Dakwaan pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, di mana jika disabit bersalah suspek boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta denda.

Sewaktu prosiding dijalankan, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Merayu untuk diikat jamin

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam telah merayu untuk dibenarkan ikat jamin pada kadar yang rendah.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM4,000 bersama dua orang penjamin. Ikat jamin itu juga berserta dengan syarat tambahan yang memerlukan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali.

Perbicaraan seterusnya telah ditetapkan pada 18 Mei depan bagi perbicaraan semula sebutan kes.

BACA: “Berhabis Beli Baju Sekolah, Terus ‘Standby’ Modal Raya Pula,” Ni Cara Nak Kurangkan Kos Persiapan Raya Sampai 85%

Terdahulu media melaporkan bahawa seorang wanita telah ditahan di Pandan Perdana bagi membantu siasatan kes kehilangan wang sebanyak RM8,200. Wang tersebut didakwa telah daripada akaun ibu saudaranya untuk membeli iPhone 14 Pro.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, laporan telah diterima oleh mereka berhubung kejadian tersebut pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, polis berjaya menemukan semula kad ATM milik mangsa serta merampas telefon pintar tersebut.

Sumber: Sinar Harian

The post Wanita Didakwa Curi Kad Debit Ibu Saudara Untuk Beli iPhone Mengaku Tidak Bersalah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*