Wanita kongsi detik cemas tiga jam bawah runtuhan

ATARIB: Seorang wanita berkongsi kisah pengalaman bagaimana dia terselamat dalam runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat yang melanda tenggara Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu.

Lapor Al Jazeera, Sakhaa al-Mousa, 24, berkata dia yang sarat hamil ketika itu, bersama suami, dua anak lelaki dan kakak iparnya terperangkap di bawah runtuhan bangunan kediaman pangsapuri tiga tingkat.

Katanya, situasi pada waktu itu gelap gelita, tidak ubah seperti berada dalam gua.

“Saya mula menjerit, berharap seseorang di luar dapat mendengar saya.

“Saya dapat mendengar suara penyelamat, tetapi, mereka tidak dapat mendengar saya. Jadi, saya mengambil batu dan mula menghentakkannya pada salah satu dinding di atas saya,” katanya.

Pada waktu itu, tiada kedengaran suara dari suaminya atau dua anak lelakinya yang masih kecil.

“Dikubur hidup-hidup adalah perasaan yang menakutkan apabila gempa kedua berlaku, saya terfikir dalam hati.

“Tidak mungkin saya akan bertahan dalam keadaan ini. Tidak mungkin saya akan melihat cahaya matahari lagi,” luahnya.

Sakhaa akhirnya ditarik keluar selepas tiga jam setengah terperangkap dan dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, suami, dua anak lelaki dan kakak iparnya tidak terselamat.

Empat hari selepas diselamatkan, Sakhaa melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya dengan nama bapanya, Omar.

 

The post Wanita kongsi detik cemas tiga jam bawah runtuhan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*