Warga Indonesia ditemukan lemas di air terjun

BELAGA – Warga Indonesia yang dikhuatiri lemas di kawasan air terjun berhampiran Kilang Menawan Wood Sdn. Bhd. di sini dijumpai terapung, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat lelaki dikenali sebagai Basrol, 22, itu dijumpai pada pukul 12.02 tengah hari dalam operasi pencarian yang memasuki hari ketiga.

Katanya operasi tersebut disambung semula bermula pukul 8.30 pagi dan anggota bomba melakukan pencarian secara di atas permukaan air di kawasan sungai dan air terjun berkenaan.

“Luas kawasan air terjun itu adalah lebih 55 meter persegi dengan kedalaman lapan meter.

“Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bomba telah melakukan dua selaman di lokasi pada hari ini dan mangsa dijumpai terapung di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di kawasan air terjun berkenaan kira-kira pukul 3.40 petang Sabtu lalu.

Mangsa dipercayai pergi ke kawasan air terjun itu seorang diri sebelum dilaporkan tidak balik ke tempat kerjanya.

Namun setakat ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE

The post Warga Indonesia ditemukan lemas di air terjun appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*