Wartawan Israel siar video curi masuk ke kota suci Mekah

RIYADH – Seorang wartawan Israel mencetuskan kontroversi selepas menyiarkan rakaman video dia menyelinap ke kota paling suci umat Islam, Mekah sekali gus mencabuli larang masuk kepada orang bukan Islam.

Rakaman video oleh Gil Tamary yang bekerja untuk saluran televisyen Israel, Channel 13 itu terus mengundang kemarahan di media sosial Arab Saudi semalam, dua hari selepas Tamary memuat naiknya di Twitter dan sehari selepas dia menyiarkan klip video memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.

Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel dan tidak memeterai persetujuan tajaan Amerika Syarikat pada 2020, Perjanjian Ibrahim yang menyaksikan Israel menjalin hubungan diplomatik dengan dua jiran Riyadh iaitu Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain.

Sebilangan wartawan Israel yang merupakan pemegang pasport asing bagaimanapun dibenarkan melawat Arab Saudi sebelum dan semasa rangka lawatan Presiden Joe Biden ke Asia Barat minggu lalu.

Dalam klip video berdurasi sekitar 10 minit tersebut, Tamary melawat Padang Arafah semasa kemuncak musim haji pada tahun ini.

Wartawan itu menjelaskan bahawa dia faham apa yang dilakukannya adalah dilarang dan merujuk Mekah sebagai ‘tempat larangan untuk orang bukan Islam’.

“Saya ialah wartawan bukan Islam pertama yang berada di Mekah dan menyiarkan imej ini dalam bahasa Ibrani (Hebrew),” katanya.

Menjawab kemarahan umat Islam kelmarin, Tamary berkata, dia hanya mahu ‘menunjukkan kepentingan Mekah’ dan keindahan agama Islam sambil mendakwa bahawa klip videonya membolehkan ramai orang melihat buat kali pertama tempat yang begitu penting kepada orang Islam.

Penjelasannya bagaimanapun gagal meredakan kemarahan di media sosial.

Seorang pengguna media sosial semalam menggesa pihak berkuasa Arab Saudi supaya ‘tidak menjejaskan negara Islam berkenaan dengan membenarkan orang Yahudi mencemarkan kota suci Utusan Tuhan.’

Pihak berkuasa Arab Saudi tidak memberi sebarang maklum balas berhubung insiden itu ketika diminta oleh agensi berita AFP. – AFP

 

BACA: Ombak besar ‘sergah’ majlis perkahwinan, tetamu cabut lari

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*