94 Pemohon Terima Surat Tawaran PPR Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung), Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 19 Jun 2023 – YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan bersama YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan telah menyerahkan surat tawaran menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah atau PPR Desa Tanjung kepada seramai 94 pemohon PPR yang berjaya pada hari ini.

Pembinaan Projek PPR Desa Tanjung melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM20 juta bagi membina 100 unit rumah yang berkeluasan 700 kaki persegi. Pembinaan ini termasuklah satu unit rumah Orang Kurang Upaya (OKU), dewan serbaguna, surau, medan selera dan tadika untuk kemudahan semua penduduk di sini. Semua pemohon yang berjaya telah ditawarkan pemilikan rumah secara Skim Sewa-untuk-Milik atau Rent- to-Own (RTO). Baki unit akan dibuat pengisian secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Projek PPR Desa Tanjung ini merupakan antara empat buah projek PPR yang telah dibangunkan di Negeri Sembilan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Tiga lagi projek PPR ialah PPR Senawang, PPR Ladang Siliau dan PPR Rantau. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Persekutuan untuk membantu penduduk khususnya golongan isi rumah yang berpendapatan 40 peratus terendah atau B40 memiliki kediaman sendiri.

YB KM berkata, “Skim RTO PPR menawarkan sewaan PPR untuk tempoh sela masa selama 5 tahun sehingga 20 tahun. Tawaran untuk memiliki akan diberikan setiap 5 tahun dengan membuat baki bayaran penuh dengan syarat penyewa konsisten dalam membuat pembayaran sewaan dan bayaran penyelenggaraan.”

Kadar bayaran sewa adalah sebanyak RM225 sebulan dan tambahan RM12 lagi untuk kos penyelenggaraan (maintenance fee). Jumlah bayaran adalah sebanyak RM237 sebulan. Kerajaan telah bersetuju meletakkan pengurusan PPR ini di bawah tanggungjawab PR1MA Facilities Management Sdn. Bhd. (PFMSB) iaitu anak syarikat Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), salah satu agensi di bawah KPKT.

Tambah beliau, “Projek ini merupakan ‘projek istimewa’ Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan kerana ianya merupakan projek PPR kepada komuniti estet di kawasan ini (KKS Tanah Merah, Ladang Bukit Pelandok dan Ladang Tanah Merah). Ini selari dengan agenda negara dan hasrat kerajaan MADANI untuk menyediakan rumah yang selesa, mampu dimiliki dan berdaya huni kepada rakyat.”

Selain itu, YB KM turut mengumumkan bahawa sebanyak RM4.9 juta peruntukan telah disediakan untuk penyelenggaraan dan baik pulih bangunan strata awam dan swasta di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk Negeri Sembilan bagi tahun 2023.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT; Tuan Haji Suhaimi bin Ali@Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, Pengurusan Tertinggi KPKT serta ketua jabatan peringkat negeri dan daerah.

KPKT terus mempergiatkan usaha memastikan agenda perumahan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya. Projek-projek perumahan sakit, lewat dan terbengkalai juga turut diberi keutamaan dalam aspek penyelesaian. Ini adalah selari dengan hasrat mengukuhkan agenda kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik, berkualiti dan berdaya huni.

The post 94 Pemohon Terima Surat Tawaran PPR Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung), Negeri Sembilan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*