
LONDON: Penyokong Manchester United yang marah mengejek kelab itu selepas mereka kalah memalukan 1-0 di tangan ASEAN All-Stars.
United mencecah paras terendah baharu apabila mereka tumpas aksi pertama daripada dua perlawanan persahabatan pascamusim di Malaysia dan Hong Kong sekalipun Bruno Fernandes, Amad Diallo, Harry Maguire, Andre Onana dan Alejandro Garnacho semuanya turun bermain.
ASEAN All-Stars, pasukan pilihan membariskan pemain skuad kebangsaan di Asia Tenggara, menjulang Piala Cabaran Maybank selepas gol kemenangan Maung Maung Lwin di depan 84,000 penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kekalahan mengaibkan itu hadir hanya tiga hari selepas pasukan kendalian Ruben Amorim berakhir di tangga ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris – keputusan terburuk mereka sejak turun divisyen pada tahun 1974 dan hanya kali kedua dalam tempoh 35 tahun mereka terlepas pertandingan Eropah.
Peminat pantas mengutuk Red Devils selepas kekalahan itu.
Menerusi hantaran di laman X, seorang peminat menulis: “Anda semua kalah??? Bagaimana?”
“Memalukan,” seorang lagi penyokong melahirkan kemarahannya.
“Anda kalah ketika tiada siapa yang menonton,” seorang peminat Arsenal mencelah.
“Bayangkan terbang ke Malaysia untuk kalah,” tambah peminat Liverpool.
United tidak berlengah bagi jelajah pascamusim di Asia Tenggara dan Asia Timur, dengan skuad itu berlepas hanya beberapa jam selepas mereka menundukkan Aston Villa 2-0 di Old Trafford, Ahad lalu.
Difahamkan kelab itu dibayar sekitar £8 juta (RM45.4 juta) bagi kunjungan itu, yang menyaksikan mereka bermain di Kuala Lumpur sebelum ke Hong Kong.
sumber: BH
Jelajah itu dibayangi oleh ketidaktentuan menyelubungi masa depan beberapa pemain bintang United.
Garnacho tampil sebagai pemain gantian menentang ASEAN All-Stars sekalipun diberitahu dia perlu “berdoa” untuk mendapat kelab baharu di depan rakan sepasukannya oleh Amorim minggu lalu.
United akan melengkapkan jelajah mereka menentang pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong dengan kapasiti 40,000 malam esok. – AGENSI