Terengganu FC (TFC) lebih berhati-hati dalam pemilihan

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) disaran lebih berhati-hati dalam pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi memastikan hanya individu berkelayakan, berpengalaman dan profesional diberi tanggungjawab menerajui hala tuju kelab.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin berpandangan, langkah itu penting bagi mengelakkan pelantikan individu yang hanya pandai bercakap, gemar mengampu namun tidak memiliki asas kukuh dalam pengurusan atau sains sukan.

“Kriteria calon CEO cadangan kelab penyokong boleh dibahagikan kepada enam iaitu pertama berdasarkan kelayakan akademik sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengurusan, perniagaan, sukan dan setaraf.

“Kedua pengalaman profesional sekurang-kurangnya tujuh tahun dalam pengurusan organisasi berskala besar atau tiga tahun pengalaman dalam industri sukan, kewangan, penajaan, pemasaran sukan dan pembangunan akar umbi adalah satu kelebihan.

“Ketiga berkemahiran dan cekap dalam kepimpinan strategik serta keupayaan membuat keputusan kritikal, kemahiran berkomunikasi dengan media, penyokong, penaja dan pihak berkuasa.

“Seterusnya berintegriti dan profesional iaitu bebas daripada sebarang rekod salah laku, pecah amanah atau penyalahgunaan kuasa, tidak terbabit dalam aktiviti politik secara aktif ketika menjadi CEO.

“Komitmen kepada misi dan budaya TFC serta petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 12 bulan pertama dengan menambah pendapatan kelab dan jalinan dengan pelbagai institusi serta komuniti penting dalam memacu kelab.

sumber: BH

“Kami harap kriteria ini mampu menjadi panduan buat pengurusan tertinggi TFC dalam memilih CEO apabila jawatan itu dikosongkan Mohd Sabri Abas pada awal Mei lalu selepas dilantik ke jawatan baharu,” katanya.